SHAH ALAM - Rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Daerah Toyama pada Jumaat.
Peguam dilantik keluarga tertuduh, Datuk Noor Svetlana Mohd Noor Nordin berkata, hukuman itu dikenakan untuk tiga pertuduhan dan akan berjalan serentak bermula dari tarikh penahanannya pada 18 November 2025.
"Ia bermakna hukuman Faiq telah dikurangkan kepada tiga tahun dan sembilan bulan.
"Kami akan failkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk proses seterusnya dan berharap berlaku keajaiban buatnya kerana terdapat peruntukan penangguhan hukuman di bawah Artikel 25 Kanun Keseksaan Jepun yang membolehkannya pulang ke Malaysia secara bersyarat.
“Kami berharap dia diberikan bon berkelakuan baik. Faiq telah ditipu kerana terlalu mempercayai rakannya," ujarnya ketika bersiaran langsung di TikTok selepas prosiding tersebut.
Difahamkan, Noor Svetlana dan Mohd Jailani yang merupakan bapa Faiq melakukan perjalanan ke Tokyo untuk menghadiri perbicaraannya.
Noor Svetlana berkata, ia merupakan kali pertama bapa Faiq dapat berhubung dengan bapanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Faiq, 24, dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Jepun.
Terdapat juga maklumat tidak tepat berkaitan penahanannya termasuk laporan awal yang mendakwa, dia ditemui bersama wang tunai dan emas bernilai kira-kira RM500,000.
Faiq disiasat pada November lalu di bawah Artikel 246(1) Kanun Keseksaan Jepun berkaitan penipuan serta Artikel 60 bagi kesalahan yang dilakukan secara bersama yang setara dengan Seksyen 420 dan 34 Kanun Keseksaan Malaysia. - Agensi


