Rakyat Malaysia diminta berhati-hati jika bercuti ke selatan Thailand sempena Deepavali – KPN

14 Oct 2024 • 7:29 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan rakyat Malaysia agar mengambil langkah berjaga-jaga jika merancang bercuti di sempadan Thailand.

Ia susulan tujuh serangan dan pengeboman yang berlaku di wilayah selatan pada 9 dan 10 Oktober lalu.

Razarudin berkata, rakyat Malaysia juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini di negara berkenaan terutama di wilayah selatan yang bersempadan.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan pergi ke wilayah selatan Thailand sempena cuti Deepavali yang akan datang.

“Selain meminta mereka lebih berhati-hati, saya juga ingin menasihatkan pelancong Malaysia supaya, jika boleh, mengelakkan kawasan yang menjadi sasaran pihak yang terbabit dalam serangan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak tujuh serangan dan pengeboman berlaku di wilayah selatan Thailand dalam tempoh 24 jam pada 9 Oktober lalu.

Serangan yang dilakukan oleh kumpulan pemberontak di wilayah selatan Thailand itu telah mengakibatkan seorang anggota polis dan seorang penduduk meninggal dunia.