Rakyat Malaysia dinasihat waspada susulan amaran hujan lebat di selatan Thailand - Konsulat

LocalTravel
29 Jun 2026 • 6:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia dinasihat waspada susulan amaran hujan lebat di selatan Thailand - Konsulat
keadaan cuaca itu berpotensi mengakibatkan banjir kilat, banjir, aliran air deras dari kawasan hutan, tanah runtuh serta ombak kuat di kawasan pesisir Laut Andaman. - Gmbar hiasan

SONGKHLA - Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihati rakyat Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada susulan amaran hujan lebat hingga sangat lebat yang dijangka melanda beberapa kawasan di negara itu dari 28 Jun hingga 3 Julai.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, konsulat itu memaklumkan amaran berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Thailand. 

Menurut konsulat, keadaan cuaca itu berpotensi mengakibatkan banjir kilat, banjir, aliran air deras dari kawasan hutan, tanah runtuh serta ombak kuat di kawasan pesisir Laut Andaman.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke Thailand, khususnya ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan cuaca terkini serta mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa," katanya.

Konsulat Jeneral Malaysia turut menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan insurans perjalanan yang bersesuaian sebelum memulakan perjalanan.

Hal ini bagi mengurangkan risiko kerugian atau kesulitan yang mungkin timbul akibat kejadian tidak dijangka sepanjang berada di Thailand.

Selain itu, ia turut menasihati orang ramai supaya mengelakkan mengunjungi kawasan air terjun, gua, lereng bukit, sungai dan pantai yang dikenal pasti berisiko, terutama sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk atau pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan sekatan keselamatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pegawai Bertugas Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi talian +66 81-990-1930 atau e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan cuaca dan situasi di Thailand serta menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu.

Amaran itu dikeluarkan ketika beberapa wilayah di selatan Thailand masih berdepan risiko cuaca tidak menentu susulan musim monsun.

Pada penghujung November dan Disember tahun lepas, wilayah Songkhla, termasuk bandar Hat Yai, dilanda banjir besar akibat hujan lebat berterusan, yang menenggelami kawasan kediaman dan pusat perniagaan, menganggu rangkaian pengangkutan serta menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan. 

Bencana itu turut menjejaskan perjalanan rakyat Malaysia yang memasuki selatan Thailand melalui pintu sempadan darat. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved