Rakyat Malaysia Ditahan Di Teluk Guantanamo Selamat Tiba Di Tanah Air - KPN

LocalPolitics
19 Dec 2024 • 7:25 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Razarudin Husain - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lepas, selamat tiba di tanah air semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kedua-dua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.

"Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan supaya mereka menjalani proses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat," katanya.

Razarudin berkata kedua-dua mereka mempamerkan sikap yang positif dan terbuka untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.

"Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang terbabit," katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata, Amerika Syarikat menyerahkan kembali dua rakyat Malaysia itu yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006.

Mohammed Farik atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir atau Bashir Lep (Lillie), ditahan di kem berkenaan atas dakwaan terbabit dalam kumpulan millitan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda sejak 2003.

Pada 30 Ogos 2021, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo berhubung insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002. - BERNAMA