Rakyat Malaysia makin gemar membaca! Lebih 1 juta buku atas talian disediakan percuma- KPN

9 Oct 2025 • 10:22 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan usaha kerajaan menyemai budaya membaca dalam kalangan rakyat menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ilmu negara.

image is not available

Rakyat Malaysia makin gemar membaca

Menurut kenyataan kementerian itu, Kajian Profil Membaca mencatatkan purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun pada 2005.

Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 15 buku setahun, manakala pada 2023 meningkat lagi kepada 24 buku setahun.

“Daripada jumlah itu, 16 buku dibaca secara fizikal manakala lapan lagi dibaca atas talian. Kajian sama turut menunjukkan 88.6 peratus rakyat Malaysia kini merupakan pembaca aktif,”menurut kenyataan.

image is not available

Bagi memastikan akses kepada bahan bacaan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenalkan u-Pustaka, platform digital sehenti yang menawarkan lebih 1 juta bahan bacaan atas talian percuma.

“Melalui inisiatif ini, masyarakat boleh mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal pada bila-bila masa dan di mana jua,”ujar Aaron Ago.

image is not available

Sehingga kini, u-Pustaka merekodkan 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital.

Ia turut menyediakan 22 pangkalan data digital termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru.

image is not available

Kredit Foto: Balqis Misha | Kosmo! Online

Inisiatif ini bukan sahaja memperluas capaian bahan bacaan tetapi turut memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu, nilai dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.