Rakyat Malaysia maut, seorang lagi cedera nahas helikopter di Filipina

3 Mar 2026 • 11:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang rakyat Malaysia maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu terlibat dalam nahas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pada pagi Selasa. Foto Polis Wilayah Rizal

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu terlibat dalam nahas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pada pagi Selasa.

Kemalangan itu turut mengorbankan nyawa seorang penumpang warga Filipina selepas helikopter jenis Bell 505 itu dilaporkan melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan tanah kosong kira-kira jam 7.27 pagi.

Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino mengesahkan, identiti mangsa yang maut telah dikenal pasti dan waris mangsa juga telah dimaklumkan.

"Pihak kedutaan sedang memberikan bantuan konsular kepada waris mangsa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan urusan konsular yang diperlukan,” katanya kepada Bernama.

Abdul Malik memaklumkan bahawa warga Malaysia yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.

"Pegawai kedutaan juga telah melawat mangsa yang cedera bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya,” kata beliau.

Terdahulu, Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) sedang menyiasat insiden yang melibatkan pendaratan cemas helikopter Bell 505 itu  yang dalam penerbangan dari Manila ke Wilayah Quezon.

"Lembaga Siasatan dan Pertanyaan Kemalangan Pesawat CAAP sedang menjalankan siasatan. Butiran lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja tersedia,” menurut agensi itu.- Bernama