Rakyat Malaysia mengaku bersalah terlibat skim penipuan Bitcoin di UK

LocalPolitics
1 Oct 2025 • 10:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rakyat Malaysia mengaku bersalah terlibat skim penipuan Bitcoin di UK

image is not available

01/10/2025 - 10:15

Hok Seng Ling - Gambar/Ihsan Polis Metropolitan UK (AFP)

LONDON 1 Okt (AFP) - Seorang rakyat Malaysia, Hok Seng Ling, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan skim penipuan mata wang kripto di Mahkamah Crown Southwark, London.

Pengakuan itu dibuat pada 30 Sept 2025 dengan hanya menyebut perkataan “bersalah” melalui bantuan jurubahasa.

Ketika ini, pihak berkuasa United Kingdom sedang berusaha mendapatkan semula £16.2 juta (RM91.73 juta) daripada Seng Ling.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas dalang utama kes berprofil tinggi itu, Zhimin Qian, mengaku bersalah dalam skim penipuan Bitcoin bernilai berbilion pound.

Zhimin Qian adalah seorang ahli perniagaan wanita dari China yang juga dikenali sebagai Yadi Zhang.

Menurut polis, Qian telah menipu lebih 128,000 mangsa di China antara 2014 hingga 2017 dengan mengaut keuntungan berbilion pound sebelum menyimpan hasil tersebut dalam bentuk aset kripto dan melarikan diri ke UK untuk ‘mencuci’ wang berkenaan melalui pembelian hartanah.

Rampasan aset berjumlah kira-kira £5.5 bilion (RM28.88 bilion) yang dilakukan pihak berkuasa Britain kini dianggap rampasan mata wang kripto terbesar di dunia.

Siasatan yang bermula tujuh tahun lalu turut menyaksikan seorang lagi rakan subahat, Jian Wen, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun lapan bulan.

Selepas penangkapan Wen, Seng Ling dipercayai mengambil alih peranan sebagai pembantu Qian dalam memindahkan wang ke dalam bentuk kripto.

Sementara itu, Menteri Keselamatan UK, Dan Jarvis berkata, pengubahan wang haram merosakkan kepercayaan, melemahkan ekonomi dan mendorong berlakunya jenayah terancang secara serius.

“Keputusan ini memberi mesej jelas bahawa UK tidak akan menjadi tempat selamat bagi penjenayah dan hasil haram mereka,” katanya.

Seng Ling dan Qian kini ditahan sehingga hukuman dijatuhkan pada prosiding yang ditetapkan pada 10 dan 11 November depan. - AFP

featured standard