Rakyat Malaysia, rakan subahat maut operasi antidadah di Tawi-Tawi, syabu AS$209,600 dirampas

16 Nov 2026 • 6:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia, rakan subahat maut operasi antidadah di Tawi-Tawi, syabu AS$209,600 dirampas
Pihak berkuasa Filipina merampas kira-kira dua kilogram dadah disyaki syabu yang dibungkus dalam dua peket teh Cina. FOTO PDEA Tawi-Tawi

COTABATO CITY (Filipina) -  Ejen antidadah Filipina dengan bantuan polis dan anggota Marin Filipina menggagalkan cubaan seorang rakyat Malaysia bersama rakan subahatnya warga Filipina untuk menjual dadah jenis syabu bernilai PHP13.4 juta (AS$209,600) dalam operasi penyamaran pembelian dadah di Tawi-Tawi pada hujung minggu, menurut seorang pegawai pada Isnin.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa kedua-dua suspek maut selepas melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa dalam operasi kira-kira jam 4.50 petang Ahad (15 Nov) di Barangay Tubig Mampallam, Bongao, Tawi-Tawi, apabila menyedari mereka berurusan dengan ejen antidadah.

Pegawai Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim, mengenal pasti suspek yang maut sebagai Janimal Hajad, yang juga dikenali sebagai "Ungod”, seorang rakyat Malaysia, dan Sansibar Amirul Amil, warga Filipina.

"Dua wanita yang belum dikenal pasti identiti mereka turut cedera akibat terkena tembakan sesat dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam laporan kepada pejabat wilayah PDEA bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di sini.

Kalim berkata, pasukan keselamatan kerajaan dengan bantuan anggota Marin Filipina dan polis merampas kira-kira dua kilogram bahan disyaki syabu yang dibungkus dalam dua paket teh Cina, dengan anggaran nilai standard PHP13.4 juta (AS$209,600).

Pihak berkuasa turut menemukan sepucuk pistol dan sebuah bot kayu bermotor yang dipercayai hendak digunakan suspek untuk melarikan diri.

Menurut PDEA, kejadian berbalas tembakan tercetus selepas suspek menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dan cuba melarikan diri menaiki bot sambil melepaskan tembakan ke arah anggota PDEA.

Tiada anggota pasukan keselamatan kerajaan yang cedera.- Bernama 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved