Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak menutup kemungkinan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya gagal memperoleh kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Rakyat muak konflik politik

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut beliau, sebarang keputusan berhubung penggunaan logo sama ada logo parti atau gabungan hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan bersama dalam kalangan kepimpinan PN.
“Ada yang bertanya logo apa akan digunakan. Kita bercadang guna logo PN tetapi ia tertakluk kepada kelulusan, termasuk keperluan watikah yang perlu ditandatangani Pengerusi PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Johor ke-16 yang berlangsung di Bakri pada Ahad.
Turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Dalam pada itu, beliau mengakui rakyat semakin muak dengan sikap sebahagian besar parti politik yang terus berbalah sesama sendiri kerana perkara itu bukanlah sesuatu yang mereka harapkan.
Menurutnya, masyarakat ketika ini berdepan tekanan akibat pelbagai cabaran kehidupan, termasuk peningkatan kos sara hidup yang masih belum ditangani secara berkesan.

Foto: Janaan AI
“Rakyat sentiasa menilai prestasi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan menyatakan bahawa Bersatu akan kekal bersama PN dan berhasrat menggunakan logo gabungan tersebut pada PRN Johor serta Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang reaksi daripada Pas yang berpandangan pengumuman berkenaan dibuat terlalu awal.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan menjelaskan bahawa penggunaan logo PN perlu mendapat watikah yang ditandatangani oleh Pengerusi PN dan bukannya presiden mana-mana parti komponen.

Artikel lain: Tun Faisal cadang PAS bina identiti sendiri, tak perlu tumpang logo parti lain
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan Bersatu bersedia meletakkan lebih ramai calon serta berhasrat bertanding di lebih banyak kerusi bagi meningkatkan peluang membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekurang-kurangnya 29 kerusi perlu dimenangi untuk membentuk kerajaan, sekali gus menuntut perancangan dan strategi yang lebih rapi berbanding pilihan raya negeri sebelum ini.
Sumber: Astro Awani






