
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa bertindak tegas terhadap kekejaman rejim Zionis yang dilaporkan baru-baru ini, termasuk memanggil satu mesyuarat tergempar bagi mencari penyelesaian segera dan berkesan terhadap konflik di Asia Barat tersebut.
Langkah ini penting dalam usaha mengelakkan kejadian seumpama itu daripada terus berlaku dan seterusnya membawa kesengsaraan berterusan kepada rakyat Palestin, yang mana penindasan Israel terhadap rakyat Palestin dilihat sudah berlarutan sejak sekian lama.
Media baru-baru ini melaporkan polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis sebelum waktu subuh, mengakibatkan 12 daripada mereka cedera sementara 350 rakyat Palestin ditahan.
Dalam video yang tular di Twitter itu, polis Israel dilihat sedang membelasah sekumpulan rakyat Palestin sambil kedengaran suara wanita merintih kesakitan saat dipukul. Video tersebut mendapat reaksi warga Twitter seluruh dunia yang rata-ratanya menyuarakan kemarahan dan menyeru sesuatu dilakukan bagi menghentikan pembantaian ini.

Turut mengecam tindakan tersebut adalah Kerajaan Negeri Selangor serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti International Human Rights Foundation dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Realitinya, tindakan kejam Israel itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Ramai dalam kalangan mereka yang berharap agar tindakan berkesan dapat dilakukan bagi menoktahkan kesengsaraan rakyat Palestin yang berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya.
Sebab itu, OIC yang dianggotai oleh negara-negara Islam seluruh dunia perlu memainkan peranannya dalam mencari titik penyelesaian dalam konflik ini. Negara-negara anggota OIC perlu bersepakat dan lebih tegas dalam tindakannya menentang kekejaman yang berlaku.

Rakyat Palestin seperti rakyat lain di seluruh dunia pastinya mendambakan keamanan di tanah air mereka. Si anak mahu menjalani kehidupan secara normal dan ibubapa dapat membesarkan anak-anak mereka semampu boleh. Keadaan ini hanya boleh dikecapi dengan keamanan dan kestabilan.
Justeru, sesuatu hendaklah dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkemampuan agar hak kemanusian rakyat Palestin ini dapat dikembalikan semula. Bagi semua umat Islam, ayuhlah kita sama-sama berdoa agar keamanan akhirnya terbit juga di bumi Asia Barat tersebut.
KadangKaler adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.



