
KLANG, 5 NOV: Rakyat perlu kekal bersatu padu dengan menjadikan perlembagaan dan Rukun Negara sebagai asas kehidupan bagi mendepani pelbagai cabaran pada hari mendatang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dunia kini sedang berdepan dengan isu identiti yang mudah membakar perasaan sehingga menimbulkan peperangan dan pertelingkahan.

“Dengan semangat perpaduan yang erat antara rakyat, kita akan dapat melepasi halangan di depan mata. Jika berpecah belah dan terikut dengan keinginan menegakkan identiti tanpa mengira persekitaran, kita akan terperangkap sehingga menyebabkan berbalah dan mungkin rasa curiga antara satu sama lain.
“Di seluruh dunia juga kini menghadapi perkara sama, jadi kita bersatu padu, eratkan hubungan antara masyarakat dengan menjadikan perlembagaan sebagai asas, Rukun Negara yang kita ikrar ikat bersama,” katanya pada majlis sambutan Deepavali peringkat negeri di Dataran Klang@Padang Chetty di sini, malam tadi.
“Saya sebut ini bukan bererti kerana ingin membantah apa dilakukan sesetengah pihak yang suka membangkitkan hal perkauman, tetapi ia serius iaitu bagaimana kita mahu ambil peluang dan menjadikan negara khususnya Selangor penting serta menjadi tumpuan aktiviti ekonomi.”

Dalam pada itu, Amirudin turut berkata rakyat seharusnya menikmati keamanan di saat negara lain berdepan dengan cabaran politik identiti sehingga berlakunya perpecahan yang mengakibatkan peperangan.
“Hari ini, saat beberapa tempat di dunia lain berdepan dengan cabaran sukar dilepaskan hingga berlaku pertempuran, Asia Tenggara tidak berdepan dengan situasi peperangan pergaduhan kaum.
“Tetapi jika gagal untuk mengekang semangat keegoan kepada identiti masing-masing, ia akhirnya merebakkan lagi budaya merosakkan dan akhirnya menguasai rakyat sehingga tidak mampu berdepan dengan cabaran,” katanya.
The post Rakyat perlu kekal bersatu, jadikan perlembagaan, Rukun Negara asas hidup appeared first on Selangorkini.

