
SHAH ALAM - Rakyat seharusnya khuatir dengan pelbagai gelombang yang dibawa oleh gabungan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kerana ia akan menyebabkan kehancuran sebuah negara Madani.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, gelombang 'Selangor Baharu' yang cuba dibawa baru-baru ini dengan mempersenda dan menghina Sultan Selangor secara terang-terangan di pentas ceramah politik.
Katanya, begitu juga dengan gelombang hijau yang boleh dilihat sebagai kejayaan PN dalam gerakan propaganda serta fitnah kepada Pakatan Harapan (PH) sehingga mempengaruhi segelintir rakyat.
"Amat pelik bila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menafikan gelombang yang ditunggang beliau sebelum ini malah mereka juga dilihat tidak adil terhadap rakyat ketika mempunyai kuasa penuh dalam kerajaan.
"Isu prosedur operasi standard (SOP) ketika Covid-19 melanda negara sahaja cukup membuktikan PN tidak adil terutama kepada rakyat sedangkan keistimewaan diberikan kepada pemimpin-pemimpin PN," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dakwa Razeef, ketika itu rakyat terseksa dikurung dan terikat kerana kegagalan kerajaan PN yang mengambil ringan soal kebajikan rakyat sepanjang pandemik.
"PN adil untuk rakyat, adakah Muhyiddin lupa kesengsaraan selama 33 bulan bawah PN, rakyat dikurung bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Apakah yang dimaksudkan dengan 'adil' mengikut pemahaman Muhyiddin? Perkara lebih teruk akan berlaku jika PN mendapat mandat melalui pilihanraya," jelasnya.

