Rakyat rindukan BN kembali memerintah - Saravanan

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saravanan (empat dari kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau kawasan Parlimen Tapah di Dewan Merdeka pada Jumaat.

TAPAH – MIC mendakwa rakyat merindui kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui pentadbiran negara selepas pelbagai isu yang berlaku ketika ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu dapat dilihat khususnya dalam kalangan masyarakat India yang merasakan nasib mereka lebih terbela di bawah kepimpinan BN.

Menurutnya, pandangan tersebut turut dikongsikan dalam satu pertemuan bersama kepimpinan BN baru-baru ini.

"Saya sudah nyatakan dari awal lagi bahawa rakyat memang rindu kepada BN. Perkara ini juga saya sebut ketika retreat BN di hadapan pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Apabila kita melihat isu-isu berkaitan rumah ibadat dan sebagainya, masyarakat India di negara ini merasakan nasib mereka lebih terbela di bawah kepimpinan BN," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau kawasan Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini pada Jumaat.

Jelas Saravanan, kebelakangan ini beberapa pihak dilihat cuba menimbulkan isu berkaitan agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, tindakan individu tertentu yang membangkitkan isu rumah ibadat dilihat boleh mencetuskan ketegangan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Dalam masa sama, beliau berkata, laporan bahawa BN mungkin bertanding sehingga 108 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) juga memberi petanda bahawa gabungan itu bersedia untuk kembali memerintah negara.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu-isu yang berkaitan rumah ibadat bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, sumbangan tahunan kepada masjid dan surau di Parlimen Tapah akan diteruskan sebagai usaha memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum.

"Setiap tahun kita akan salurkan sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Tapah sempena Ramadan.

"Tahun ini sebanyak RM65,000 disalurkan melibatkan 19 masjid dan 92 surau bagi tujuan penyediaan juadah moreh sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi yang diamalkan di Parlimen Tapah bagi memastikan hubungan antara masyarakat terus harmoni dan saling menghormati.