Rakyat Sabah, Sarawak perlu hayati tiga tarikh penting

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 2:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Rakyat Sabah, Sarawak perlu hayati tiga tarikh penting

BAU: Rakyat Sabah dan Sarawak perlu terus menghayati sejarah sebenar pembentukan Malaysia serta memperkukuh perpaduan berasaskan tiga tarikh penting yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini, kata Presiden Forum Dayak Borneo (BDF) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata tiga tarikh berkenaan ialah 22 Julai 1963 (Hari Sarawak), 31 Ogos 1963 (Hari Sabah) dan 16 September 1963 (Hari Malaysia).

Berucap ketika merasmikan Sambutan Hari Sarawak 722 dan Perarakan Kebudayaan Tasik Biru 2026 di sini pada 22 Julai, Ahli Parlimen Keningau dan Adun Tambunan itu berkata konsep asal pembentukan Malaysia adalah untuk memberikan kemerdekaan atau pemerintahan sendiri kepada Sarawak dan Sabah terlebih dahulu sebelum kedua-duanya bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk sebuah persekutuan baharu, iaitu Malaysia.

“Perjuangan pemimpin terdahulu berasaskan prinsip ‘Merdeka Dahulu, Kemudian Bentuk Malaysia’. Namun, proses itu berubah apabila Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani pada 9 Julai 1963, sedangkan rundingan mengenai penubuhan Malaysia masih belum dimuktamadkan.

“Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala Sabah pada 31 Ogos 1963 sebelum kedua-duanya bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.

Jeffrey berkata dalam Deklarasi Malaysia bertarikh 16 September 1963, Sabah dan Sarawak dirujuk sebagai entiti yang telah mempunyai kerajaan sendiri sebelum bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia.

Beliau berkata kedudukan itu bagaimanapun berubah susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1976 yang meletakkan taraf Sabah dan Sarawak setara dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Menurutnya, pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 2021 merupakan langkah penting ke arah memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah pengasas atau rakan pengasas yang setara dengan Persekutuan Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia.

Jeffrey turut mengimbau penglibatan awalnya memperjuangkan pengiktirafan Hari Sarawak sekitar 2010 apabila beliau bersama beberapa aktivis menyertai perarakan mengibarkan bendera Sarawak di Padang Merdeka, Kuching ketika sambutan itu belum diiktiraf secara rasmi.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal, usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan Sarawak mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak dan menjadikannya cuti umum bermula 2016.

Beliau berkata kejayaan itu turut menjadi inspirasi kepada Sabah untuk terus memperjuangkan pengiktirafan Hari Sabah, yang akhirnya diwartakan secara rasmi pada 5 Jun 2024 selepas beliau mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet Negeri ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Sabah dan Sarawak perlu terus bergerak sebagai satu pasukan kerana kedua-dua wilayah berkongsi sejarah, hak dan kepentingan yang sama. Perpaduan adalah kunci utama untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak terus dipertahankan demi generasi akan datang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved