
Rakyat Tak Mimpi Kaya, Tapi Cukup Hidup Selayaknya – Prabowo
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata rakyat tidak bermimpi untuk hidup kaya raya, sebaliknya hanya mengharapkan kehidupan yang baik dan selesa.
Memetik CNN Indonesia, beliau berkata demikian ketika membentangkan Kerangka Ekonomi Makro dan Pokok-Pokok Dasar Fiskal (KEM-PPKF) dalam sidang penuh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi Sesi Persidangan V Tahun 2025–2026 di Kompleks Parlimen DPR/MPR RI, Senayan, Jakarta pada Rabu.
Dalam ucapannya, Prabowo menegaskan bahawa sekiranya Perkara 33 Perlembagaan 1945 dilaksanakan secara konsisten dan bertanggungjawab, ia mampu menjamin kesejahteraan rakyat serta mewujudkan negara yang lebih makmur dan adil.
Kaya Raya Bukan Impian Utama
Menurut beliau, harapan rakyat Indonesia adalah asas kehidupan yang stabil dan bermaruah.
“Rakyat kita tidak bermimpi untuk hidup kaya raya, tetapi mereka bermimpi untuk hidup dengan baik dan selayaknya,” katanya.
“Mereka mahu makan dengan cukup setiap hari, dapat memberikan susu kepada anak-anak, serta mendapatkan rawatan apabila sakit,” tambahnya.
Prabowo turut menyatakan bahawa rakyat mengimpikan kehidupan keluarga yang lebih terjamin, termasuk memiliki rumah yang selesa, anak-anak yang sihat ke sekolah, serta pekerjaan dan pendapatan yang stabil.
“Mereka bermimpi mempunyai rumah yang selesa, melihat anak-anak pergi ke sekolah dalam keadaan sihat, serta ibu bapa mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang mencukupi,” katanya.
Baca juga:Selain itu, beliau menegaskan kepentingan meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memberi perhatian kepada kebajikan guru.
Menurutnya, masa depan negara bergantung kepada guru yang berkualiti, bersemangat dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.
“Memperbaiki kehidupan guru mesti menjadi keutamaan kita,” katanya.
Orang Kampung Tak Guna Duit Dolar AS
Terdahulu, Presiden Indonesia itu menegaskan bahawa rakyat di kampung tidak menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) ketika mengulas isu kejatuhan nilai rupiah berbanding mata wang tersebut.
Menurutnya, masyarakat di kawasan pedalaman tidak menggunakan mata wang asing tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Sementara itu, Ketua Umum Parti Gerindra itu menegaskan bahawa keadaan ketahanan ekonomi Indonesia masih dalam terjaga dengan baik malah relatif stabil, terutamanya dalam sektor makanan dan tenaga di tengah-tengah panik global.
"Rupiah begini, rupiah begitu, apa? Eh, dolar begini. Rakyat di desa tidak guna dolar pun, betul tak? Bekalan makanan selamat, tenaga selamat, ya. Banyak negara sedang panik, Indonesia masih okay," ujarnya.
