
ADEN: Kumpulan Houthi yang disokong Iran dilaporkan mula mengepung bandar pelabuhan Aden yang menjadi ibu negara sementara kerajaan Yemen, sekali gus memaksa penduduk awam bersiap sedia untuk melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa.
Pejuang Houthi kini menghimpunkan kekuatan ketenteraan di bahagian utara dan timur bandar berkenaan serta menghampiri kedudukan sekitar 80 kilometer dari pusat bandar selepas menewaskan tentera kerajaan dalam pertempuran pada September lalu.
Bagi seorang guru sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Hussein, situasi tegang itu memaksanya memikirkan semula keputusan pahit untuk meninggalkan kediamannya selepas pernah melarikan diri dari Sanaa enam tahun lalu ketika wilayah itu jatuh ke tangan Houthi.
“Saya melarikan diri dari rumah di Sanaa dan datang ke sini. Saya tidak fikir Houthi merancang menawan Aden buat masa ini, tetapi jika mereka semakin menghampiri, saya tiada pilihan selain melarikan diri sekali lagi ke Marib atau Hadhramaut,” katanya.
Hussein yang merupakan bekas ahli parti politik Islam pro-Arab Saudi, Islah bimbang bakal berdepan penindasan sekiranya bandar pelabuhan itu ditawan kumpulan berkenaan.
“Houthi tidak percaya kepada kebebasan, mereka hanya mahu mendengar satu suara iaitu suara yang mereka sukai sahaja,” ujarnya.
Menurut pengasas firma penasihat risiko Basha Report berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Mohammed al-Basha, peningkatan kehadiran tentera Houthi di utara Kirish dan al-Bayda berisiko memutuskan laluan darat utama serta laluan bekalan Arab Saudi ke Aden.
“Houthi dilihat sedang menguji tahap ketahanan pertahanan Aden. Jika pertahanan itu runtuh, mereka mungkin cuba menawan bandar ini, namun jika tentera kerajaan berjaya bertahan, Houthi berkemungkinan akan mengepungnya,” katanya.
Kejatuhan Aden bakal menjadi tamparan hebat kepada kerajaan Yemen serta pakatan tentera diketuai Arab Saudi yang menjadikan bandar pelabuhan itu sebagai pusat pentadbiran sejak 2015, selain memberi kelebihan strategik kepada Iran dalam perang saudara yang sudah berlarutan selama 12 tahun.
Bagi mengekang kemaraan itu, kerajaan Yemen dilapor menggerakkan semula anggota tenteranya dari kawasan pesisir pantai barat daya untuk memperkukuh benteng pertahanan di sekitar Aden sejak minggu lalu.
Pada masa sama, Arab Saudi turut memperhebat kempen serangan udara sejak September lalu bagi menyekat pergerakan Houthi, yang menurut data badan bebas Yemen Data Project, mengorbankan dan mencederakan 822 orang awam termasuk 181 kanak-kanak.
Pihak Houthi mendakwa sebanyak 5,500 serangan udara dan peluru berpandu dilancarkan Riyadh sejak Julai. – AGENSI
The post Rakyat Yemen siap sedia tinggalkan Aden appeared first on Utusan Malaysia.





