MELAKA - Polis Melaka menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya membabitkan program kelab pemotoran mahupun kenderaan mewah sepanjang Ramadan ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, setiap persatuan memainkan peranan penting mendidik ahli untuk berdisiplin supaya program dianjurkan berjalan lancar dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada masyarakat.
“Setakat ini, program yang diadakan di negeri ini tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat namun berharap persatuan kelab motosikal dan juga supercar dapat mendidik ahli-ahli kelab supaya lebih berdisiplin.
“Boleh dikatakan setiap minggu memang ada kumpulan kereta dan motosikal datang untuk singgah sahur di Melaka, namun undang-undang tetap undang-undang.
**media[3457794]**
“Kita tidak akan berkompromi sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang kerana bulan Ramadan bukan alasan untuk memberi kelonggaran kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui pada program Singgah Sahur yang menghimpunkan kenderaan mewah Supercar Gang dan motosikal berkuasa tinggi dari Ducati Official Club Malaysia (DOCM) di Kilang Makan di sini.
Beliau turut berharap setiap pengunjung dapat memberi kerjasama serta mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Dzulkhairi berkata, program tersebut juga merupakan gabungan Program Singgah Sahur antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kelab berkenaan serta mendapat kerjasama Jabatan Ketua Menteri.
Katanya, kolaborasi berkenaan dilihat sebagai satu aktiviti positif walaupun terdapat pihak yang kurang senang dengan kehadiran kumpulan kenderaan tersebut kerana dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas serta bunyi bising.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kolaborasi itu memberi kebaikan kerana mampu mengeratkan hubungan dan menunjukkan kerjasama yang sihat antara pelbagai pihak.
Sementara itu, Presiden Ducati Official Club Malaysia (DOCM), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program berkenaan berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada 10 madrasah terpilih di Melaka.
Ujarnya, program tersebut menghimpunkan lebih 65 buah kereta mewah dari Kuala Lumpur serta lebih 120 motosikal Ducati yang hadir bagi memeriahkan program Singgah Sahur di negeri ini.
