Ramai graduan berkelulusan tinggi, namun gaji hanya ‘cukup-cukup makan

LocalBusiness & Finance
26 May 2025 • 10:34 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Majoriti siswazah di Malaysia masih terperangkap dalam kitaran gaji rendah, meskipun memiliki kelulusan tinggi. Kajian terbaharu mendapati lebih 65 peratus pemegang ijazah menerima gaji bulanan kurang daripada RM3,000, meletakkan mereka dalam kelompok berpendapatan ‘cukup-cukup makan’ tanpa keupayaan untuk menyimpan, melabur atau memperbaiki taraf hidup.

Lebih membimbangkan, lebih 70 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor separa mahir dan tidak mahir, jauh daripada skop bidang yang dipelajari di universiti.

Laporan berjudul The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk yang diterbitkan oleh Malaysia Labour Market Insight Series, mendedahkan bahawa pendidikan tinggi di negara ini semakin kehilangan nilainya sebagai laluan kepada kestabilan ekonomi.

Menurut pengarang laporan, Dr Mohd Yusof Saari, situasi ini menunjukkan wujudnya masalah struktur dalam pasaran kerja yang serius. Walaupun statistik kebolehpasaran siswazah dilaporkan tinggi melebihi 80 peratus, angka itu dilihat kurang tepat kerana tidak mengambil kira sejauh mana pekerjaan yang diperoleh benar-benar sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

Laporan tersebut menyatakan, ramai graduan sebenarnya bekerja dalam bidang yang tidak memerlukan kelayakan akademik tinggi dan dalam masa sama, gaji yang diterima tidak mencerminkan tahap pendidikan mereka.

Pelaburan pendidikan tinggi semakin tidak berbaloi

Ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan realiti pekerjaan bukan sahaja merugikan individu, malah memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Kajian mendapati pulangan pelaburan terhadap pendidikan tinggi semakin merosot, terutama dalam kalangan belia dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan kos pendidikan yang tinggi.

Tambahan pula, gaji yang diterima siswazah kini tidak jauh berbeza dengan mereka yang tidak memiliki ijazah. Ini menjadikan keputusan untuk melanjutkan pelajaran satu risiko ekonomi, berbanding satu pelaburan masa depan seperti yang diharapkan sebelum ini.

Cabaran mobiliti sosial

Jurang yang semakin luas antara tahap pendidikan dan ganjaran pekerjaan turut menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan sebagai alat untuk meningkatkan mobiliti sosial. Apabila pemegang ijazah tidak mampu melonjakkan taraf hidup berbanding bukan siswazah, motivasi untuk menuntut ilmu ke peringkat tinggi akan terus merosot.

Laporan ini mengenal pasti beberapa punca utama kepada krisis ini, termasuk pertumbuhan gaji yang perlahan, kelemahan dalam sistem latihan sebelum bekerja, serta kurangnya permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor swasta.

Keadaan ini menyebabkan ramai siswazah mengalami perkembangan kerjaya yang perlahan, dengan pendapatan yang hampir tidak berbeza daripada golongan bukan siswazah, terutamanya pada tahun-tahun awal bekerja.

Cadangan pembaharuan menyeluruh

Bagi menangani masalah ini, laporan mencadangkan beberapa langkah pembaharuan menyeluruh. Antaranya termasuklah:

  • Menggantikan indikator kebolehpasaran graduan yang sedia ada dengan ukuran yang lebih realistik, seperti padanan kemahiran dan tahap gaji.
  • Mewujudkan sistem penjejakan jangka panjang terhadap hasil kerjaya siswazah.
  • Menyusun semula program latihan industri dan laluan pra-pekerjaan agar lebih selaras dengan keperluan pasaran.
  • Memodenkan struktur industri dan reka bentuk pekerjaan agar lebih mesra kepada tenaga kerja berkelayakan tinggi.
  • Memperkenalkan garis panduan gaji sebagai rujukan dalam menangani isu pendapatan rendah.

Selain itu, laporan turut mengesyorkan agar kerajaan memperkukuh kerangka dasar yang menggabungkan perancangan pendidikan, keperluan pasaran buruh dan jangkaan pulangan upah dalam satu strategi nasional yang lebih bersepadu.

Keperluan kajian lanjutan

Sebagai tambahan, laporan ini menggesa kajian lanjut dijalankan secara mendalam untuk memahami realiti yang dihadapi oleh siswazah merentas pelbagai latar belakang, sektor dan tahap pendidikan. Langkah ini penting bagi merangka dasar yang lebih tepat sasaran dan memberi impak yang besar.