
Ramai Ingat Dari Bom Nuklear Je, Radiasi Sebenarnya Selalu Ada Di Sekeliling Kita
Radiasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar, namun ia sentiasa berada di sekeliling kita.
Tanpa kita sedar atau pun tahu, selain bahan radioaktif, radiasi sebenarnya boleh datang daripada pelbagai sumber seperti sinaran dari angkasa (cosmic ray), tanah dan air.
Namun begitu, uranium yang begitu sinonim dengan tenaga nuklear menjadi contoh bahan radioaktif paling umum yang sering kita dengar dari semasa ke semasa.
Menurut Atom Malaysia, radiasi terdiri daripada dua jenis utama iaitu Sinaran Pengaion (Ionizing Radiation – IR) dan Sinaran Bukan Pengaion (Non-Ionizing Radiation – NIR).
Bagi Sinaran Pengion, tenaga bergerak ini merupakan paling kuat dan memberi kesan kepada tisu badan hidup dalam tubuh badan manusia.
Alpha particle, Beta particle, sinar x dan sinar gamma adalah contoh radiasi pengion.
Manakala, Sinaran Bukan Pengaion tidak mempunyai tenaga secukupnya untuk menyebabkan kerosakan tisu badan hidup dalam jangka panjang.
Misalnya seperti radio frekuensi, cahaya nampak (visible light), dan radiasi gelombang mikro (microwave radiation).

Di Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) bertanggungjawab memantau tahap radiasi untuk keselamatan awam.
Mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara, Atom Malaysia jadi agensi utama yang uruskan bencana radiologi dan nuklear dengan sokongan teknikal dan kepakaran.
Misalnya, pemantauan tahap radiasi dilakukan secara masa nyata (real-time), yang mana sekali gus dapat memastikan radiasi di sekeliling kita berada pada paras selamat.
Menurut Atom Malaysia, data yang dikumpul dapat dijadikan rujukan negara untuk paras radiasi semula jadi dari tanah, air dan udara.
Jika secara tiba-tiba terdapat peningkatan radiasi, tindakan segera boleh diambil untuk mengurangkan risiko pada orang ramai dan alam sekitar.
Dalam situasi kemalangan nuklear, data terkini akan dibandingkan dengan data sebelumnya untuk memeriksa sekiranya ada penambahan bahan radioaktif yang dibawa oleh angin atau air.
Berdasarkan hasil data tersebut, langkah-langkah keselamatan boleh diambil dan dimaklumkan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, radiasi dalam udara di Malaysia dilakukan dengan menggunakan 8 unit Gamma Dose Rate Monitoring Station (GDRMS).
Selain itu, Atom Malaysia turut menggunakan 1 unit Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) untuk memantau radiasi dalam sumber air.
Untuk makluman, alat pemantauan radiasi ini telah diletakkan di beberapa tempat di Malaysia.
Bagi alat GDRMS, kawasan yang terlibat adalah Langkawi, Pulau Pinang, Mersing, Kuala Terengganu, Sri Aman, Bintulu, Miri, dan Labuan.
Daerah Pengkalan Chepa, Cameron Highland, Kuantan, Senai, Petaling Jaya, Batu Berendam, Sri Aman, dan Kudat merupakan kawasan peletakan alat GDRMS bagi menghantar bacaan radiasi.
Lain daripada itu, alat GSWMS telah diletakkan di Malaysia Timur iaitu Jeti Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.

Ketiga-tiga alat beroperasi dengan menghantar bacaan radiasi ke server di Ibu Pejabat Atom Malaysia di Dengkil.
Kemudian, data berkenaan akan diproses serta dipaparkan untuk tatapan orang awam di laman sesawang khas.

Begitulah serba sedikit berkenaan radiasi yang ada di sekeliling kita. Semoga bermanfaat.
The post Ramai Ingat Dari Bom Nuklear Je, Radiasi Sebenarnya Selalu Ada Di Sekeliling Kita appeared first on Siakap Keli.

