Pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 bermula 31 Ogos menyaksikan lebih 22 juta rakyat dewasa mula menebus bantuan tunai berjumlah RM100 setiap seorang. Namun, sistem terminal MyKasih tergendala akibat lonjakan transaksi terlalu tinggi, menyebabkan sebahagian premis runcit menghadapi kesukaran memproses pembelian.
Kementerian Kewangan (MOF) dan MyKasih dalam kenyataan bersama memohon maaf atas kelewatan tersebut. Mereka menjelaskan pasukan teknikal sedang giat menyelesaikan masalah dan sistem dijangka kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.
Baca juga:
Hari kedua masih bermasalah
Gangguan itu bagaimanapun tidak reda sepenuhnya. Pada hari kedua (1 September), tinjauan di sebuah pasar raya mendapati sistem MyKasih masih tidak stabil. Ramai pelanggan terpaksa meninggalkan barangan selepas pengumuman dibuat bahawa transaksi tidak dapat diproses.
Nota makluman turut diletakkan di premis, manakala pekerja menjelaskan sistem mula bermasalah sejak jam 9 pagi ekoran jumlah transaksi yang terlalu tinggi.
Bantuan tunai bersejarah
Program SARA melibatkan peruntukan RM2 bilion, sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama bantuan tunai disalurkan tanpa pengecualian kepada semua rakyat dewasa. Walaupun berdepan cabaran teknikal pada dua hari pertama, kerajaan memberi jaminan isu akan ditangani segera supaya manfaat bantuan dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian
The post Ramai kecewa, sistem MyKasih tergendala dua hari berturut-turut appeared first on The Reporter.



