
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar awal bulan ini, tular seorang lelaki menaiki kereta mewah Toyota Vellfire yang memukul dan menendang pemandu warga emas selepas terlibat dalam kemalangan kecil di Cheras, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, suspek Saiful Adli Yusof telah didakwa di Mahkamah Majistret Kajang sebelum mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,500 atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut ingin membunuh Liew Khoon Foo, 70.
Pun begitu, ada yang tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan dan berpendapat dia patut dipenjara.
Baca Artikel Berkaitan: Padah Pukul Warga Emas, Lelaki Didenda RM5,500 Selepas Mengaku Bersalah
Mangsa Baca Pernyataan Impak Mangsa Di Prosiding Semakan Hukuman
Pun begitu, pada 25 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin, telah mengetepikan denda RM5,500 itu dan lelaki berkenaan sebaliknya dikenakan hukuman penjara selama empat bulan yang bermula pada hari sama.
Keputusan itu dibuat setelah prosiding semakan hukuman dijalankan menerusi Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) bagi memanggil semula kes ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Liew telah membacakan pernyataan impak mangsa dalam bahasa Mandarin ketika prosiding berlangsung.
Katanya dia mengalami trauma sehingga takut untuk menjejakkan kaki ke luar rumah dan tidak berani memandu kenderaannya lagi. Dalam masa sama, dia juga telah menerima enam jahitan di lidah yang menyebabkan sukar untuk makan kerana dipukul dan ditendang tempoh hari.
“Saya tiada niat atau sengaja melanggar keretanya, mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku.
“Saya takut dia menyimpan dendam dan mencari saya semula jadi saya rayu dia dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Apa Itu Pernyataan Impak Mangsa?
Membaca berita mengenai kes ini, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah itu pernyataan impak mangsa atau dikenali juga sebagai ‘victim impact statement’ (VIS) sehingga hakim menukar keputusan yang dibuat sebelum ini.
Secara ringkasnya, VIS yang turut dipanggil keterangan impak mangsa adalah kenyataan bertulis atau pertuturan yang menjadi sebahagian daripada proses perundangan kehakiman, sekali gus memberi peluang kepada mangsa untuk mengatakan sesuatu sebelum hukuman dibuat terhadap suspek.
Mendiang Datuk VK Liew sebelum ini berkata pernyataan impak mangsa hanya akan dilakukan selepas tertuduh didapati bersalah.
Menurut Hisham Nazir & Cronies, Seksyen 183A Kanun Tatacara Jenayah membolehkan mahkamah mengambil keterangan impak mangsa daripada mangsa sendiri atau keluarga mengenai impak kejadian jenyah yang berlaku.
Perkara ini dilakukan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman kepada pesalah yang disabitkan kesalahan jenayah.
Dalam keadaan mangsa atau ahli keluarganya tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah, mahkamah boleh menggunakan kenyataan bertulis mangsa atau keluarga.
“Keterangan ini hendaklah direkod dan diterima bagi pertimbangan kepada Mahkamah oleh pihak pendakwaan dalam menilai keterangan yang ada bagi menjatuhkan hukuman setelah pertimbangan dibuat kepada keterangan berkenaan, selain faktor mitigasi yang ada oleh pihak pembelaan,” jelasnya lagi.
Peruntukan mengenai pernyataan impak mangsa telah berkuatkuasa pada 1 Jun 2012.

