Ramalan Harga Emas XAU/USD: Hala Tuju CPI Malam Ini

Business & Finance
10 Jun 2026 • 4:20 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Ramalan Harga Emas XAU/USD: Hala Tuju CPI Malam Ini

Letusan peluru berpandu di Timur Tengah dan  jangkaan kenaikan kadar faedah telah mencetuskan fasa panik yang mengheret emas ke lubang kejatuhan.

Pasaran emas XAU/USD ketika ini sedang dihanyutkan oleh gelombang jualan panik yang amat dahsyat buat hari kedua berturut-turut. Harga emas dilaporkan telah merosot dengan begitu ganas sehingga memperbaharui paras terendah dalam tempoh tiga bulan di bawah nilai 4,200 Dolar AS per auns.

Sesiapa sangka emas yang diyakini akan terbang tinggi sebagai aset perlindungan selamat ekoran letusan perang nampaknya terpaksa akur dengan realiti pasaran yang kejam. Momentum jualan yang sangat agresif berjaya menolak golongan pembeli ke sudut dinding sementara sang Dolar AS megah mendominasi pentas dagangan antarabangsa.

Serangan Udara Di Selat Hormuz Musnahkan Harapan Damai

Suasana pasaran global meroket ke paras kritikal selepas tercetusnya pertempuran berskala besar yang melibatkan tentera Amerika Syarikat di bumi Iran. Ketegangan memuncak apabila helikopter Apache milik Washington dilaporkan ditembak jatuh di laluan maritim strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi minyak dunia.

Tindakan balas ketenteraan yang menyaksikan pembedilan puluhan sasaran pangkalan tentera telah menghancurkan terus harapan damai para pelabur. Fasa pengelakan risiko yang ekstrem ini memaksa para pelabur berebut-rebut memburu mata wang Dolar AS sebagai perisai utama berbanding menyimpan emas.

Naratif Kadar Faedah Bunuh Fungsi Tradisi Emas

Pelabur institusi sedar bahawa sekatan ketat di laluan Selat Hormuz akan menyebabkan kos tenaga global melambung tinggi sekali gus menyemarakkan api inflasi jangka panjang. Rentetan itu pasaran kini meletakkan taruhan setinggi 70 peratus bahawa bank pusat Fed terpaksa menaikkan kadar faedah pada tahun ini.

Memandangkan komoditi emas merupakan aset yang tidak menawarkan pulangan faedah, pasaran kini menjangkakan emas akan terus dilempar ke lubang terdalam selagi pimpinan Fed berada dalam mod hawkish sekali gus mematikan fungsi tradisi emas sebagai pelindung inflasi.

Debaran Data Inflasi Penentu Sisa Nyawa Pembeli

Selain pergolakan geopolitik, pasaran dunia juga sedang berhadapan dengan bom jangka pengumuman data Indeks Harga Pengguna dari Amerika Syarikat malam nanti. Kami di INTRADAY menjangkakan inflasi teras tahunan akan kekal di paras 2.8 peratus..

Angka ini amat kritikal kerana ia bakal menjadi cermin rujukan utama pihak Fed untuk melihat tahap  inflasi yang sebenar dalam ekonomi. Jika data yang keluar didapati lebih panas daripada jangkaan ia akan memberikan tolakan tambahan untuk Dolar AS terus mengganas dan menolak emas ke paras tragis.
Image from: Ramalan Harga Emas XAU/USD: Hala Tuju CPI Malam IniImage from: Ramalan Harga Emas XAU/USD: Hala Tuju CPI Malam Ini

Analisa Teknikal: Carta Harian

Melihat pada carta harian harga pergerakan pasaran emas jelas dikuasai sepenuhnya oleh pihak penjual dengan pembentukan trend menurun yang sangat jelas. Siri kejatuhan yang berlaku berturut-turut ini didapati masih belum menunjukkan sebarang tanda pengakhiran atau pengurangan momentum.

Lantai psikologi pada paras 4,170 Dolar AS kini menjadi benteng nyawa terakhir buat golongan pembeli untuk bertahan. Sekiranya lantai ini bolos akibat impak data ekonomi malam nanti ia akan membuka ruang kepada kejatuhan bebas yang lebih dalam tanpa ada zon sokongan jelas di bawahnya.

Impak Pasaran Emas Terhadap Laporan Data CPI

Jika inflasi teras (Core CPI) malam ini melonjak melebihi ramalan, pasaran akan panik dan hasil bon Amerika Syarikat akan melonjak tinggi. Dolar AS akan meroket manakala harga emas akan dipancung memecahkan lantai sokongan untuk terjun ke lubang harga yang baharu.

Sebaliknya sekiranya inflasi teras mencatatkan penurunan mengejut naratif kenaikan kadar faedah akan ditarik balik buat sementara waktu. Situasi ini akan memberi ruang kelemahan kepada Dolar AS dan memberikan talian hayat untuk harga emas melantun semula ke paras rintangan 4,405 Dolar AS.

Nasihat jujur kami di INTRADAY untuk para pedagang adalah jangan sesekali cuba berlagak hero untuk membeli emas di paras terendah sekarang atas alasan harga sudah murah. Melawan momentum bearish adalah satu tindakan yang sangat berbahaya.

Sebaiknya perhatikan reaksi pasaran dahulu dalam sesi dagangan yang penuh volatiliti malam ini. Tunggu sehingga struktur pasaran mencatatkan pengukuhan yang sahih selepas data diterbitkan kerana keutamaan paling tinggi adalah melindungi modal pelaburan anda.