
KUALA LUMPUR - Malaysia wajar mempertimbangkan pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh, susulan semua banduan akhir yang disabitkan atas kesalahan pengedaran dadah dan memohon semakan hukuman berjaya mendapat pengurangan hukuman.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, hasil proses semakan hukuman susulan reformasi undang-undang pada 2023 menunjukkan terdapat ruang untuk kerajaan mempertimbangkan langkah lebih lanjut bagi memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan bukan pembunuhan.
Beliau berkata, kira-kira 1,021 permohonan semakan hukuman mati telah difailkan sejak reformasi itu diperkenalkan, dengan kebanyakan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh digantikan dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Katanya, kebanyakan kes yang masih mengekalkan hukuman mati melibatkan jenayah yang amat kejam.
“Saya percaya pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan selain membunuh boleh diterima.
“Mungkin perkara ini wajar diteliti dan dikaji semula. Bagaimanapun, usaha juga perlu dilakukan untuk meyakinkan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada seminar pemansuhan hukuman mati di Asia anjuran Universiti Monash.
Malaysia memperkenalkan reformasi undang-undang pada 2023 yang memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan tertentu, sekali gus memberikan budi bicara lebih luas kepada mahkamah dalam menentukan hukuman.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata antara hujah utama dalam perdebatan mengenai hukuman mati mandatori ialah keberkesanannya sebagai pencegah jenayah, khususnya pengedaran dadah.
Beliau berkata, penelitian terhadap angka kes selepas hukuman mati mandatori bagi kesalahan pengedaran dadah diperkenalkan pada awal 1980-an tidak menunjukkan perubahan ketara, dengan kesalahan itu terus berlaku dalam beberapa dekad berikutnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya hukuman sebatan yang dikekalkan menerusi pindaan undang-undang pada 2023 dikaji semula pada masa hadapan.
Katanya, hukuman sebatan dikekalkan ketika itu sebagai sebahagian daripada kompromi bagi memastikan rang undang-undang reformasi berkenaan diluluskan.
“Perkara ini masih wajar dipertimbangkan, termasuk kemungkinan memansuhkan hukuman sebatan pada masa hadapan,” katanya. - Getaran, 26 Oktober 2026





