Ramos Sedia Jadi Bos Pula! Bida €400 Juta Untuk Beli Sevilla

FootballBusiness & Finance
29 Jan 2026 • 1:21 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SEVILLE – Bekas tonggak antarabangsa Sepanyol, Sergio Ramos dilaporkan telah mengemukakan bidaan rasmi sekitar €400 juta (RM1.8 bilion) bagi mengambil alih kelab La Liga, Sevilla.

Pada usia 40 tahun, karier profesional Ramos semakin menghampiri penghujung selepas kontraknya bersama kelab Mexico, Monterrey berakhir bulan lalu sekali gus menyaksikan beliau kini berstatus ejen bebas.

Namun, legenda Real Madrid itu tidak menunggu lama untuk merancang langkah seterusnya apabila memilih untuk beralih ke peranan pengurusan dengan menyasarkan pemilikan kelab yang berpangkalan di Andalusia berkenaan.

Menurut laporan, Ramos bekerjasama dengan hartawan Argentina, Martin Inca bagi membentuk konsortium untuk membeli Sevilla.

Sebelum ini, sebuah konsortium dari Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Antonio Lappi dan Fede Quintero disebut-sebut sebagai calon utama mengambil alih kelab tersebut.

Bagaimanapun, tawaran mereka gagal mencapai nilai minimum yang ditetapkan pengurusan semasa, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan diketuai Ramos untuk memintas dengan bidaan lebih kompetitif.

Difahamkan, pemilik majoriti Sevilla pada awalnya meletakkan tanda harga sekitar €500 juta (RM2.3 bilion), namun selepas beberapa rundingan, kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan prinsip pada nilai sekitar €400 juta.

Jika urus niaga itu disahkan dalam masa terdekat, perubahan besar dijangka berlaku dalam struktur pengurusan tertinggi kelab.

Presiden semasa, Jose Maria del Nido Carrasco berkemungkinan besar akan berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Era baharu Sevilla?

Kemasukan Ramos sebagai pemilik dilihat mampu membawa suntikan semangat baharu buat Sevilla yang sejak beberapa musim kebelakangan ini bergelut untuk kembali bersaing dalam kelompok elit La Liga.

Pengalaman luasnya sebagai pemain bertaraf dunia serta mentaliti juara dijangka membantu membentuk semula hala tuju kelab di peringkat pengurusan.

Daripada mengangkat trofi di atas padang, kini Ramos berpeluang mencipta kejayaan dari belakang tabir pula.

Jika segalanya menjadi kenyataan, ia bukan sekadar kepulangan seorang legenda, sebaliknya permulaan era baharu buat Sevilla. – The Malaysian Update

The post Ramos Sedia Jadi Bos Pula! Bida €400 Juta Untuk Beli Sevilla appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article