Rampasan hampir RM31.7 juta bongkar aktiviti 4 lombong haram di Perak, Kedah

21 Aug 2026 • 7:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rampasan hampir RM31.7 juta bongkar aktiviti 4 lombong haram di Perak, Kedah
Jafri menunjukkan hasil rampasan dan tangkapan Operasi Gali Mega hasil serbuan di empat premis perlombongan di Perak dan Kedah, Khamis lepas.
Image from: Rampasan hampir RM31.7 juta bongkar aktiviti 4 lombong haram di Perak, Kedah
Rampasan melibatkan jentera, sejumlah 3,714 jumbo beg pasir silika dianggarkan 3,714 tan, 900 guni serbuk separa kaolin seberat kira-kira 45 tan, 30 jumbo beg kaolin dianggarkan 15 tan serta 60 kilogram bijih besi yang diproses dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM31.7 juta.

IPOH - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya membongkar aktiviti perlombongan haram di empat premis di Perak dan Kedah dengan rampasan hampir RM31.7 juta menerusi Operasi Gali Mega pada Khamis.

Operasi khas yang dijalankan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam itu turut membawa kepada penahanan 30 individu termasuk 16 warga asing yang bekerja di lokasi berkenaan.

Pemangku Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Jafri Muhamad berkata, hasil serbuan mendapati kesemua premis menjalankan aktiviti perlombongan dan pemprosesan mineral seperti pasir silika, kaolin dan bijih besi tanpa kelulusan pihak berkuasa.

"Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar bahan mineral serta jentera yang digunakan untuk aktiviti tersebut.

"Rampasan melibatkan 3,714 jumbo beg pasir silika dianggarkan 3,714 tan, 900 guni serbuk separa kaolin seberat kira-kira 45 tan serta 30 jumbo beg kaolin dianggarkan 15 tan.

"Turut dirampas 60 kilogram bijih besi yang diproses dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM31,688,800," katanya dalam sidang akhbar Kejayaan Operasi Gali Mega di Ibu Pejabat PGA Ulu Kinta di sini pada Jumaat.

**media[3622119]**

Seramai 64 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Briged Utara, Batalion 1, Batalion 3 dan Batalion 18 PGA terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak dan Kedah.

Jafri berkata, semua barang kes berkaitan pemprosesan pasir silika dan bijih besi telah diserahkan kepada JMG untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016.

Katanya, PTG Perak dan Kedah turut mengambil tindakan mengikut Seksyen 425 dan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 berkaitan kesalahan menceroboh dan mengangkut bahan batuan tanpa kebenaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 turut dijalankan ke warga asing terlibat melibatkan kesalahan tinggal tanpa dokumen sah serta menggaji pekerja tanpa permit.

"Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Kubang Pasu telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja dan notis meruntuh terhadap struktur yang dibina tanpa kelulusan," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved