
SEPANG, 5 JUN: Kerajaan Selangor mencipta sejarah baharu hari ini apabila melancarkan projek pembangunan Taman Aero seluas 600 ekar di KLIA Aeropolis bagi merancakkan sektor aeroangkasa dan semikonduktor sekali gus memacu ekonomi negeri.
Dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, projek menerusi kerjasama Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merupakan inisiatif strategik memacu pelaburan berimpak tinggi selain menjadi hab untuk inovasi, pembangunan bakat dan perkongsian teknologi.
Hadir sama menyempurnakan majlis pecah tanah ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop.

MAHB dalam kenyataan berkata Taman Aero Selangor menjadi elemen penting dalam merealisasikan visi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjana pendapatan tahunan hingga RM55.2 bilion dalam industri ini.
“Projek bakal mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Merentasi seluas 600 ekar di KLIA Aeropolis, taman ini mempunyai potensi menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion,” katanya.

Pembangunan taman ini melibatkan fasa pertama meliputi 200 ekar manakala baki 400 ekar dilaksana secara berperingkat selepas tempoh 2028 bagi menyediakan kemudahan infrastruktu sekali gus memenuhi permintaan pelabur.
Taman Aero Selangor bakal menawarkan ekosistem lengkap seperti kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), avionik, kemudahan pembuatan aeroangkasa serta pembekalan teknologi elektronik berimpak tinggi.
The post Rancak industri aeroangkasa, Selangor buka Taman Aero di KLIA appeared first on Selangorkini.
