
Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 Tumpu Pengukuhan Kualiti Pendidikan Negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Putrajaya bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Menurut beliau, rancangan berkenaan melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Antara fokus RPN 2026-2035 termasuk pengenalan Pengukuran Pembelajaran Darjah Empat bermula tahun ini sementara Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada tahun 2027.
“Tumpuan Matriks Pembelajaran Malaysia ini yang akan dikendali oleh Lembaga Peperiksaan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah,” umum beliau.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan pengenalan pendidikan Prasekolah yang akan bermula dari usia lima tahun manakala Tahun 1 pula dari enam tahun mulai tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa perkara ini belum diwajibkan pada tahun hadapan bagi memberi ruang kepada ibu bapa yang belum bersedia.
Bagi membuka peluang kepada pelajar memilih jurusan lebih awal, laluan TVET akan diperkenal pada peringkat awal persekolahan.
Dalam mengambil kira kebajikan guru, kerajaan turut memberikan peruntukan RM100 juta bagi menambah baik kemudahan khusus kepada guru.
“Kita juga akan pastikan kemudahan guru, bilik guru diperbaiki,” umum Anwar.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pemberian pendidikan percuma kepada semua pelajar kategori OKU di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti berkuat kuasa hari ini.
Malah, bagi memastikan lebih ramai pelajar miskin berpeluang mendapat pendidikan di peringkat tinggi, kuota pendidikan percuma Institut Pengajian Tinggi (IPT) dinaikkan daripada 5,800 kepada 10,000 pelajar.
Dalam pada itu, pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 akan menerima tawaran ke IPTA.
BACA: Lepas Lampu Hijau, Lampu Merah Pula Dinyalakan Di PPUM
BACA: NASA Buka Peluang Orang Awam Hantar Nama ‘Naik’ Roket Keliling Bulan, Ini Caranya
Sumber: Siaran langsung Astro Awani
The post Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 Tumpu Pengukuhan Kualiti Pendidikan Negara appeared first on Siakap Keli.

