Rangka dalam tong: Bekalan air terawat Melaka kekal selamat

14 Sep 2026 • 10:29 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rangka dalam tong: Bekalan air terawat Melaka kekal selamat

MELAKA – Bekalan air terawat kepada pengguna di negeri ini disahkan selamat hasil pemantauan kualiti air susulan penemuan rangka dipercayai manusia di Empangan Durian Tunggal, di sini, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan.

Katanya, setakat pemantauan yang dijalankan, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan.

“Berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai susulan lokasi penemuan rangka itu merupakan sebahagian kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air Melaka.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan terbabit, termasuk melaksanakan persampelan serta ujian diperlukan.

“Penemuan dipercayai rangka manusia di kawasan rizab empangan tidak boleh ditafsirkan secara langsung berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.

“Sebarang kesimpulan hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, persampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.

Semalam Kosmo! melaporkan aktiviti tiga lelaki memancing di kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal bertukar gempar selepas mereka menjumpai tong dram bersimen mengandungi rangka dipercayai manusia.

Tong itu ditemukan kira-kira pukul 11.40 pagi sebelum pemeriksaan polis bersama pasukan forensik mendapati terdapat rangka termasuk tengkorak di dalamnya.

Tong tersebut ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan utama dan dipercayai berada di lokasi sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan rangka. Rangka itu dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.- KOSMO! ONLINE

The post Rangka dalam tong: Bekalan air terawat Melaka kekal selamat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved