Rangkaian Internet Terpantas Dunia 1.2 Tbps Kini Beroperasi Di China

TechnologyDigital
15 Nov 2023 • 11:51 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Rangkaian internet terpantas dunia kini beroperasi di China dengan ia menyambungkan Beijing, Wuhan dan Guangzhou. Sistem sepanjang 3000 kilometer ini mampu menghantar data pada kelajuan maksimum 1.2 Tbps (1200 Gbps) yang adalah lebih pantas berbanding rekod terdahulu 400 Gbps yang dipegang oleh Amerika Syarikat.

image is not available

Sistem internet mencapai kelajuan 1.2 Tbps ini hadir jauh lebih awal berbanding ramalan asal ia hanya akan tiba menjelang 2025. Ianya cukup pantas bagi membolehkan 150 filem beresolusi tinggi dimuat turun dalam masa hanya 1 saat. Sungguhpun begitu rekod dunia penghantaran data terpantas masih dipegang oleh dari Technical University of Denmark (DTU) dan Chalmers University of Technology dengan kelajuan 1.84 petabit/s (Pbps) tetapi ini adalah rangkaian ujian serta bukan untuk kegunaan umum.

Untuk merealisasikannya, kerjasama dilakukan antara Tsinghua University, China Mobile, Huawei Technologies dan Cernet Corporation. Ia mengambil masa sedekad untuk dibangunkan di bawah program Future Internet Technology Infrastructure (FITI). Menerusi FITI China ingin mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar serta mewujudkan rangkaian tulang belakang yang boleh menyokong rangkaian selular 5G.