
Kota Kinabalu: Bekalan kuasa tanpa gangguan untuk Luyang dan kawasan sekitarnya akan menjadi kenyataan apabila siapnya Pencawang Agihan Utama yang kini dalam pembinaan.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Datuk Phoong Jin Zhe, pembinaan Pencawang Agihan Utama baharu itu membuktikan titik perubahan kritikal dalam komitmen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membekalkan penduduk dan perniagaan dengan elektrik yang diperlukan.
Beliau berkata masyarakat boleh mengharapkan masa depan yang lebih cerah dan lestari di mana tenaga elektrik memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah Pencawang Utama Luyang 33/11KV SESB, di sini.

