Ranhill padanan strategik buat YTL Power, beri akses operasi air di Johor - MIDF Research

Business & Finance
29 May 2024 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ranhill padanan strategik buat YTL Power, beri akses operasi air di Johor - MIDF Research

herman

29/05/2024 - 09:31

KUALA LUMPUR 29 Mei - MIDF Research percaya Ranhill Utilities adalah padanan strategik untuk YTL Power International Berhad kerana kedua-duanya beroperasi dalam perniagaan yang serupa dalam air dan tenaga, walaupun dengan skala dan kehadiran geografi yang berbeza.

Menurut firma penyelidikan itu, Ranhill akan memberikan akses kepada YTL Power untuk operasi air eksklusif di Johor yang membolehkannya memanfaatkan peluang dari Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan permintaan berpotensi dari pusat data Johor.

Selain itu, katanya, kepakaran bersama dalam operasi air boleh memacu lagi kecekapan perniagaan air Ranhill di negeri Johor.

"Perjanjian ini juga memberikan akses kepada YTL Power ke pasaran elektrik Sabah di mana Ranhill mengawal saham penjana tenaga bebas (IPP) terbesar, diperkuatkan lagi dengan CCGT baru 100MW yang dijangka siap pada 2026.

"Ranhill juga telah membuat kemajuan dalam EE dengan penubuhan loji LSS4-nya pada Februari 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata, secara keseluruhannya, pengambilalihan ini sebagai positif bagi tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang bagi YTL Power.

"Kekal saranan Beli pada harga sasaran (TP) yang berasaskan SOP yang tidak berubah sebanyak RM6.35 sesaham," jelasnya.

Subsidiari YTL Power International Bhd, SIPP Power Sdn Bhd membeli 405.18 juta saham atau 31.42% kepentingan dalam Ranhill Utilities Bhd pada harga RM405.18 juta atau 99.5 sen sesaham.



Blok saham itu dimiliki oleh pemegang saham utamanya, Tan Sri Hamdan Mohamad, menurut YTL Power dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut pemfailan itu, SIPP Power yang 70% sahamnya dimiliki YTL Power telah menandatangani perjanjian pembelian saham tanpa syarat dengan Hamdan dan dua unit pelaburannya.

Sementara itu, menurut firma penyelidikan itu, setelah siap, pegangan SIPP Power dalam Ranhill akan meningkat daripada 2.9% kepada 34.3%, manakala pegangan YTLP dalam Ranhill akhirnya akan meningkat daripada 21.8% kepada 53.2%.

"Pemerolehan oleh SIPP Power akan mencetuskan Tawaran Pengambilalihan Mandatori (MTO) untuk baki saham dalam Ranhill pada harga tawaran tunai yang sama iaitu RM0.995/saham.

"Pengambilalihan SIPP Power bagi 31.4% kepentingan Tan Sri Hamdan Mohamad dijangka selesai pada bulan Jun, manakala MTO dijangka siap menjelang 3QCY24. YTL Power berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Ranhill," katanya.

MIDF Research pada masa sama menganggap tawaran yang berpatutan untuk transaksi ini yang memberikan YTL Power kawalan ke atas Ranhill.

"Malah, kos kemasukan keseluruhan YTL Power ke Ranhill adalah menarik - kami menganggarkan jumlah kos YTL Power untuk agregat 53.2% pegangannya pada RM580 juta (termasuk dua transaksi terdahulunya), dengan berkesan menilai Ranhill pada 18x FY25F PER, diskaun 10% kepada min 20x," ujarnya.- DagangNews.com