Ranhill SAJ terima peruntukan RM120 juta selepas catat pengurangan kadar air tidak berhasil  

LocalBusiness & Finance
16 May 2025 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ranhill SAJ terima peruntukan RM120 juta selepas catat pengurangan kadar air tidak berhasil

image is not available

16/05/2025 - 12:26

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyerahkan cek replika kepada Ketua Bahagian Rangkaian dan NRW Ranhill SAJ, Zaulkarnain Abd. Manap (dua dari kanan), sambil disaksikan Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 Mei – Ranhill SAJ Sdn Bhd menerima peruntukan lebih RM120 juta di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan menerusi bayaran imbuhan balik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam berkata, dana itu akan digunakan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi dan mampan termasuk penggantian paip lama, pemasangan peralatan pengesan kebocoran, serta peluasan kawasan pengukuran meter daerah (DMA).

"Pencapaian NRW terendah dalam tempoh lima tahun dahulu sebanyak 24.1%, sekaligus melebihi sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebanyak 24.5%.

"Usaha berterusan dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat merupakan hasil kejayaan buat kami.

"Projek-projek berkenaan dijangka mampu meningkatkan kecekapan pemantauan sistem bekalan air kepada lebih empat juta pelanggan di Johor," katanya dalam satu kenyataan.

Program tersebut merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk merangsang transformasi industri air negara dengan memberikan geran kepada operator yang menunjukkan prestasi cemerlang dari segi kecekapan dan kelestarian air.

Air Selangor (AiS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) turut menerima geran padanan dalam majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.- DagangNews.com

standard