Rantaian bekalan ekosistem E&E, industri semikonduktor di Malaysia berada pada tahap menyeluruh - MITI

LocalBusiness & Finance
11 Mar 2024 • 12:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rantaian bekalan ekosistem E&E, industri semikonduktor di Malaysia berada pada tahap menyeluruh - MITI

zulfadli

11/03/2024 - 12:48

KUALA LUMPUR 11 Mac - Malaysia berjaya mewujudkan ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) yang komprehensif termasuk industri semikonduktor yang merangkumi hampir keseluruhan rantaian bekalan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, sejak tahun 1972 lagi, industri E&E berkembang pesat di wilayah utara terutamanya di Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Timur kerana tumpuannya terhadap industri E&E dan merupakan sebahagian daripada rangkaian penting pengeluaran global industri E&E terutamanya bagi produk semikonduktor.

Katanya, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menekankan kepentingan prinsip inklusiviti dalam usaha memastikan pembangunan seimbang di semua negeri, iaitu dengan memperkasakan kluster industri sedia ada yang dapat mewujudkan kesan limpahan positif kepada negeri-negeri jiran.

"Selaras dengan prinsip ini, Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 mengumumkan cadangan pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak dalam usaha lerajaan untuk membangunkan wilayah utara Semenanjung Malaysia.

"Cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) adalah untuk menampung kesan limpahan ekonomi, sebagai contoh, daripada Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan menyokong ekosistem yang lebih luas untuk kluster E&E yang pada ketika ini banyak tertumpu di wilayah utara, khususnya di Kawasan Perindustrian di Bayan Lepas dan Batu Kawan di Pulau Pinang dan KHTP di Kedah.

"Usaha pelaksanaan KIGIP ini diterajui secara bersama antara MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Perak," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu-PN) di Dewan Rakyat hari ini.

Chin Tong berkata, pada 16 Februari lepas, Perdana Menteri juga merasmikan majlis pecah tanah Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3).

Katanya, perkembangan itu menunjukkan usaha kerajaan untuk menyediakan lebih banyak taman perindustrian berkualiti tinggi bagi menampung aliran kemasukan pelaburan asing dan permintaan pelaburan tempatan, khasnya dalam industri berteknologi tinggi seperti E&E di wilayah utara.

Selain itu katanya, Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) ditubuhkan melalui Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara pada 9 Januari lalu bagi mentransformasi industri E&E di Malaysia.

"Dengan keanggotaan pelbagai kementerian, agensi dan pemain industri, pasukan petugas ini memberi tumpuan dan memacu penambahbaikan kepada tiga aspek iaitu insentif, bakat dan ekosistem industri E&E," katanya.

Katanya, institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) juga memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat 'industry-ready' bagi industri E&E di wilayah utara.

Tambahnya, industri E&E merupakan industri penting yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu sekitar 6.7% pada 2023.

"Pada tahun yang sama, industri E&E menyumbang sebanyak 47.3% daripada keseluruhan eksport barangan negara bernilai RM575.45 bilion dan merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM85.4 bilion, iaitu 56% daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan bagi tempoh yang sama," katanya. - DagangNews.com