Rapatkan Saf Ketika Solat Untuk Peroleh Ganjaran Pahala – Mufti Pulau Pinang

24 Mar 2024 • 5:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - gambar BERNAMA

GEORGE TOWN - Umat Islam dituntut merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih supaya mendapat ganjaran pahala berlipat ganda, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, tuntutan itu tidak wajar diabaikan kecuali dalam keadaan terpaksa termasuk mengelak jangkitan penyakit seperti ketika COVID-19 melanda dunia sebelum ini.

"Contoh kejahilan yang merugikan antara lain adalah kedudukan saf yang tidak sama ketika menunaikan solat berjemaah, sedangkan saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada fardu atau sunat," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau mengulas mengenai tular gambar saf wanita yang mengikuti solat tarawih dalam keadaan lompong dan terputus saf.

Menurutnya terdapat beberapa hadis yang memerintahkan umat Islam merapatkan saf ketika solat berjemaah, justeru terdapat ulama yang berpandangan perbuatan itu adalah wajib.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, jumhur ulama berpendapat tindakan ini sunat manakala meninggalkannya adalah makruh. -  BERNAMA