Ras Adiba terima anugerah Ijazah Kehormat OUM

16 Nov 2022 • 3:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sosial dan Kemanusiaan dari Open University Malaysia (OUM).

Anugerah itu disampaikan Chanselor OUM Tun Jeanne Abdulllah pada konvokesyen khas universiti itu di Le Meridien Petaling Jaya, di sini.

Jeanne dalam ucapannya berkata anugerah ijazah kehormat itu sebagai penghargaan kepada Ras Adiba atas sumbangan cemerlang beliau terhadap komuniti golongan kurang upaya (OKU).

“Saya berpendapat ini adalah contoh terbaik untuk kita semua kerana terdapat kecenderungan melihat kecacatan sebagai satu tragedi. OKU dilihat sebagai golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ketika ditemui berkata ijazah kehormat yang diterimanya itu akan menjadi pencetus semangat untuk terus melakukan pembaharuan terhadap komuniti OKU.

“Saya bersyukur... anugerah ini bukan untuk saya tetapi buat komuniti seperti saya sebab apa yang saya lakukan semuanya untuk mereka. Saya akan terus melakukan terbaik untuk komuniti OKU dan masyarakat di luar sana.

“Banyak yang perlu dilakukan untuk golongan tersebut terutamanya dalam pendidikan, pekerjaan dan menambah baik akta OKU,” katanya yang dalam masa sama berharap agar komuniti OKU tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita dan melakukan pembaharuan terbaik untuk negara. -Bernama