Seorang wanita yang juga saksi mendakwa personaliti dakwah, Ebit Lew perdaya secara halus bagi memenuhi kemahuan seksual yang tidak dapat dipenuhi oleh isterinya di Mahkamah Majistret, hari ini.
Selaku saksi kesembilan pendakwaan, wanita berusia 40-an itu berkata, perkara itu diceritakan Ebit Lew kepadanya dalam satu panggilan video berdurasi 44 minit sembilan saat pada 20 Mei 2021.

Ebit Lew perdaya secara halus
Saksi juga menafikan dirinya ada berkongsi sesuatu intim mengenai dirinya kepada Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew sepanjang tempoh panggilan video itu, termasuk tidak membuat apa-apa rakaman.
Dalam pada itu, saksi yang juga pengadu kes berkenaan bersetuju dengan soalan peguam Ebit Lew, Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas bahawa saksi secara sukarela mengambil bahagian dalam panggilan video tersebut.
“Pengadu berkata dia berasakan Ebit Lew telah merosakkan dirinya dengan memperdayakan secara halus sehingga terikut-ikut kemahuan tertuduh,”petik laporan Bernama.

Wanita berkenaan turut menafikan mahu melakukan hubungan intim dengan tertuduh.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani disambung esok.
Sumber: Bernama
