
Bagi yang mahu mencari rasa asli makanan tradisi pelbagai negeri seperti lontong lodeh, mi rebus, nasi kerabu, laksa, soto selain asam pedas, Warung Jendela Kaseh seharusnya menjadi destinasi kulinari pilihan yang wajib dituju.
Bertempat di Worldwide Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Warung Jendela Kaseh mengetengahkan sajian tradisional Malaysia dalam suasana dan ruangan kedai yang selesa lagi kreatif dengan menggabungkan elemen warisan, seni dan nostalgia.

Diasaskan oleh Wan Rafidah Wan Ali, warung ini lahir daripada hasrat menghidupkan semula suasana warung tradisional sebagai tempat keluarga, jiran tetangga dan sahabat berkumpul.
Beliau berkata, dengan berpegang kepada aspirasi ‘Bukan Sekadar Rasa, Ini Kisah Kita’, menjadi hasratnya untuk melihat kedai makan yang diusahakan menjadi lokasi yang menyatukan generasi melalui kenangan, cerita dan nilai kebersamaan.

Menurutnya, konsep ‘Jendela’ menjadi identiti utama melalui jendela-jendela klasik, lukisan suasana kampung, rumah tradisional dan dekorasi vintaj yang menghidupkan nostalgia.
Katanya, tarikan utama warung itu bukan sahaja terletak pada dekorasi kedai, malah makanan yang dihidangkan menjadi keutamaan dalam mengekalkan identiti serta cita rasa tradisional.
“Sedap itu sudah pasti dan kita mencari identiti dengan makanan yang dekat di hati masyarakat serta mengekalkan rasa yang menggamit nostalgia mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
WARUNG JENDELA KASIH
Lokasi: Worldwide Business Park, Seksyen 13, Shah Alam
Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu (7 pagi-7 malam)
Makanan: Nasi kerabu, pelbagai menu mi dan laksa
Antara menu pilihan utama yang menjadi kegemaran pelanggan adalah Lontong Mak Lodeh, Nasi Kerabu Ayam Bakar, Mi Rebus Bandar, Soto Kampung, Mi Bandung, Laksa Johor, Laksa Terengganu, Asam Pedas dan Gulai Kawah Daging.
Menurut Wan Rafidah, pelbagai menu hidangan ditawarkan pada harga berpatutan bermula RM4.50 hingga RM16.90 bergantung kepada pilihan pelanggan.
Beliau berkata, setiap hidangan disediakan menggunakan bahan-bahan segar dengan penekanan terhadap rasa autentik, layanan mesra dan suasana yang selesa.

Selain menu harian, Warung Jendela Kaseh turut menyediakan kelainan kepada pelanggan pada setiap Khamis menerusi Arabian Feast atau nasi Arab.
Wan Rafidah berkata, warung itu menggunakan khidmat tukang masak berpengalaman dalam bidang kulinari dan perhotelan bagi memastikan setiap juadah dihidangkan dengan rasa yang konsisten.
Menurutnya lagi, pemilihan lokasi di Seksyen 13, Shah Alam juga memainkan peranan penting dalam memastikan kedainya menjadi tumpuan pelanggan terutama pada waktu sarapan pagi dan makan tengah hari.
Katanya, Seksyen 13 kini menjadi lokasi tumpuan pelbagai golongan termasuk anak-anak muda yang gemar mencuba pelbagai pilihan makanan.
Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi Facebook, Instagram, Threads dan TikTok menggunakan nama Warung Jendela Kaseh atau @warongjendelakaseh. –UTUSAN
The post Rasa tradisi gamit nostalgia di Warung Jendela Kaseh appeared first on Utusan Malaysia.


