
Kota Kinabalu: Seorang anggota polis yang didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang wanita untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memiliki haiwan dilindungi tanpa permit, akan mengetahui nasibnya pada 17 Ogos tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan tarikh untuk Koperal Donni @ Dainel Tinilili, apabila pembelaan menutup kesnya selepas memanggil beberapa saksi.
Mahkamah menetapkan 20 Julai untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan menjawab, jika ada, selewat-lewatnya 3 Ogos tahun ini. Bagi pertuduhan pertama, Donni didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Koyoh Majungkat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jupilin Mojungkat yang memiliki haiwan dilindungi mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 21 Ogos, 2016 jam 5 pagi di lokap pusat di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada Koyoh untuk tujuan sama pukul 1 tengah hari pada 22 Ogos, 2016 di Taman City Park, berhampiran bangunan mahkamah lama, di sini. Pendakwaan memanggil 24 saksi sepanjang perbicaraan.
Doni diperintah membela diri pada 11 Mei tahun ini selepas mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Donni. Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F. M Sambatan mengendalikan pendakwaan manakala peguam Debra Lyn Golingai dan Calsey Theodora Hampry mewakili Donni.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
