
KUALA LUMPUR- Lapan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas disyaki bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.
Menurut sumber SPRM, lapan individu terbabit terdiri daripada broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam, masing-masing berusia 20 hingga 50 tahun.
“Lima ditahan di sekitar ibu negara iaitu tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah pula melibatkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat,” katanya.
Beliau memberitahu, lima suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 17 Jun, seperti diperintahkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
“Perintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun pula dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu terhadap tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki, selepas permohonan dibuat SPRM,” katanya.
Mengulas lanjut sumber berkata, kejadian berlaku apabila tiga broker bersama pengarah syarikat dan dua orang awam bertindak sebagai orang tengah dengan memberi rasuah berjumlah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank terbabit.
“Ia sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.
"Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah 'genuine' daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan,” katanya.
Tegas sumber, tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket tersebut menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka dijual tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pada masa sama, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta susulan penahanan tersebut. - Getaran, 12 Jun 2024
