Rasuah: Pesara pegawai kebajikan dipenjara, didenda

13 Dec 2022 • 4:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang pesara kerajaan pada Isnin dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM225,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana amalan rasuah semasa dia menjadi pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kinabatangan.

Kasrin Atchil, 60, didapati bersalah dan disabitkan kesalahan menyalahgunakan kuasa melantik syarikat sepupunya untuk kontrak bekalan makanan bernilai RM45,000, enam tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat memutuskan mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kesnya.

Kasrin didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai kebajikan masyarakat Daerah Kinabatangan merangkap setiausaha Jawatankuasa Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (KZM) Kinabatangan untuk melantik Syarikat Usaha Garunai Contractor, milik sepupunya Muhammadya @ Rosman Janit, bagi mendapatkan tender kerajaan melalui program KZM bagi 2016 bernilai RM45,000.

Kesalahan itu dilakukan di bilik mesyuarat pejabat daerah Kinabatangan antara jam 2.30 petang dan 4.15 petang pada 29 Jan 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Kasrin, yang diikat jamin RM15,000 berdeposit RM6,000 dengan seorang penjamin, menjalani hukuman penjara itu pada Isnin.

Bagaimanapun, Kasrin berjaya memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan tambahan RM2,000 kepada deposit ikat jaminnya dan dengan syarat dia melapor diri di pejabat SPRM berhampiran di sini, dua bulan sekali.

Terdahulu, peguam Majnah Abdillah yang mewakili Kasrin memohon hukuman ringan atas sebab dia kini seorang pesara sejak Julai tahun ini dan telah berkhidmat selama 40 tahun dengan jabatan berkenaan dan tidak mempunyai rekod sabitan kesalahan.

Kasrin insaf dan menyesali kesalahannya serta menghidap kencing manis, kolesterol tinggi dan darah tinggi, kata Majnah.

Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi memohon hukuman berbentuk pencegahan, berhujah antara lain bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius dan hukuman berbentuk pencegahan terhadap Kasrin akan menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

Pihak pendakwaan telah memanggil 20 saksi manakala Kasrin memanggil dua saksi termasuk dirinya dalam pembelaannya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.