
KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM2.12 juta.
Kesemua jumlah itu didakwa sebagai hasil aktiviti haram.
Pengakuan tidak bersalah Hafizuddeain direkodkan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Faham pertuduhan, minta dibicarakan," katanya, seperti dilaporkan BERNAMA.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000, yang dipercayai dimasukkan ke dalam tiga akaun bank peribadi miliknya.
Menurut kertas pertuduhan, perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank di sekitar Kuala Lumpur, termasuk di Jalan Melaka dan Bukit Damansara, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Hafizuddeain boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Sekadar info, tertuduh adalah PTD pertama didakwa di mahkamah atas kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM). - Getaran, 22 Januari 2026
