Ratusan berselawat, munajat sempena sambutan hari kemerdekaan negeri

30 Aug 2024 • 8:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 30 OGOS: Ratusan umat Islam menyertai program Selawat dan Munajat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri, petang tadi.

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini, peserta yang sebahagian besarnya pelajar tahfiz mula memenuhi hadapan pentas utama sejak 4.30 petang.

Program diisi dengan tazkirah yang disampaikan daripada Ustaz Zul Ramli dan berselawat bersama Ustaz Fahmi Legacy dan Asy-Syakirin sehingga majlis tamat sebelum maghrib.

image is not available
Pelajar tahfiz ketika program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana sempena Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Selangor 2024 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Cuaca yang cerah membolehkan pengunjung hadir awal bagi mengelakkan kesesakan dan boleh memilih tempat duduk sebelum program ambang merdeka bermula pada sebelah malam.

Lebih 60,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan bertemakan Jiwa Merdeka dengan pelbagai program menarik antaranya pertunjukan bunga api dan laser, perbarisan dan perarakan kontinjen, citrawarna perpaduan serta koir.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan enam artis iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Roy, Poey Stings, Projektor Band dan kumpulan tarian Zeppo Youngsterz.

Tahun ini logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dengan tema sambutan ‘Malaysia Madani – Jiwa Merdeka’.

image is not available