Ratusan ikan mati, penduduk Tenom bimbang sungai tercemar

LocalEnvironment
21 Oct 2025 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tenom: Beberapa hari sahaja selepas fenomena banyak ikan mati di Tambunan, suatu kejadian serupa berlaku di Tenom, di mana ratusan ikan ditemui mati di Sungai Purolon, Kampung Makaniton.

Ikan pelbagai spesis ini ditemui terapung atau tersangkut antara batu, tebing serta akar pokok, mencetuskan kebimbangan penduduk terhadap tahap pencemaran air dan keselamatan kesihatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Makaniton, Jubin Kinsil, berkata beberapa bangkai ikan yang diperiksa penduduk didapati mengandungi cacing di dalam perut, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai punca sebenar kematian besar-besaran itu.

“Ada juga ikan masih hidup tetapi lemah, dipercayai akibat perubahan kualiti air,” katanya.

Beliau berkata, penduduk enam kampung yang bergantung kepada sungai itu sebagai sumber air graviti kini bimbang keselamatan bekalan harian mereka terjejas.

Katanya, laporan rasmi akan dikemukakan kepada Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan Tenom bagi tindakan segera, termasuk pengambilan sampel air dan bangkai ikan untuk ujian makmal.

“Penduduk berharap punca kejadian dapat dikenal pasti segera sama ada berpunca daripada pencemaran kimia, aktiviti pertanian atau faktor alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menggunakan air sungai secara langsung atau mengambil ikan di kawasan terbabit sehingga keputusan analisis diumumkan.