
JAKARTA – Beratus-ratus keranda di Liang Pongtimban, Daerah Toraja Utara dalam wilayah Sulawesi Selatan hangus terbakar apabila kebakaran hutan dan tanah merebak ke kawasan perkuburan tradisi masyarakat Toraja tersebut, lapor laman berita IDN TIMES.
Kebakaran berlaku dari malam Jumaat hingga kelmarin.
Api marak merebak sehingga ke kawasan liang batu yang selama ini dijadikan tempat persemadian terakhir penduduk setempat.
Liang Pongtimban merupakan kawasan perkuburan tradisional berupa lubang-lubang di tebing batu.
Setiap liang digunakan untuk menempatkan keranda berisi jasad anggota daripada satu susur galur keluarga.
Kawasan perkuburan tersebut digunakan sejak zaman dahulu lagi.
Bilangan keluarga yang disemadikan di lokasi itu menjadikan jumlah keranda di dalam liang dianggarkan mencecah ratusan.
Ketua Mukim Baruppu’ Selatan, Natan Pongtoko melaporkan kejadian tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Toraja Utara, malam kelmarin.
Dia menggesa polis menyiasat punca kebakaran tersebut.
Sekiranya terdapat unsur khianat atau disengajakan, Natan meminta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Saya sudah ke balai polis untuk membuat laporan agar Polis Toraja Utara menyiasat insiden ini hingga ke akar umbi,” kata Natan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Toraja Utara, Iptu Ruxon mengesahkan menerima aduan tersebut.– AGENSI
The post Ratusan keranda di tebing batu terbakar appeared first on Kosmo Online.

