Ratusan masih di pusat pemindahan, mangsa bah Selangor turun sedikit

5 Dec 2022 • 10:34 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 5 DIS: Beberapa daerah di tiga negeri masih terkesan banjir dengan 405 orang daripada 114 keluarga berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan jumlah mangsa bah di dua PPS di Selangor turun sedikit kepada 139 orang berbanding 151 orang semalam.

Pusat Operasi Smart Selangor dalam platform sama pula memberitahu kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang.

Sementara itu, mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di Perak pula mencatatkan 262 orang manakala satu PPS dibuka di Perlis dengan menempatkan empat orang mangsa.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir dan hujan di beberapa kawasan di seluruh Semenanjung bermula petang hingga malam ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor pula memaklumkan paras air di stesen Bukit Changgang masih pada tahap waspada.