
JAKARTA – Polis menjalankan siasatan selepas sebuah sekolah swasta melaporkan penemuan 995 barangan berkaitan senjata, termasuk sejumlah senjata api, senapang angin, peluru dan aksesori di dalam sebuah bilik yang sebelum ini digunakan oleh bekas pengerusi yayasan sekolah tersebut, lapor akhbar Jakarta Globe semalam.
Simpanan rahsia itu ditemukan bulan lalu semasa pemeriksaan beberapa bilik di kampus sekolah di Pondok Pinang, Jakarta Selatan, demikian menurut peguam sekolah tersebut, Hermawanto.
“Pada 10 dan 11 Julai (2026), kami menemukan 995 item berkaitan senjata, termasuk senjata api, peluru dan pelbagai aksesori senjata,” kata Hermawanto kepada pemberita di ibu pejabat Polis Metropolitan Jakarta Selatan semalam.
“Kami melaporkan penemuan itu kerana semua item tersebut ditemukan di dalam bilik yang sebelum ini diduduki oleh pengerusi yayasan yang telah pun dipecat,” tambahnya.
Pegawai yayasan berkenaan, Untung Sangaji berkata, penemuan dibuat apabila pentadbir memasuki bilik untuk mengambil peralatan untuk pelajar.
Sebaliknya, mereka menemui apa yang beliau sifatkan sebagai koleksi besar senjata api dan peluru disimpan di dalamnya.
Menurut Untung, barangan ditemukan termasuk senapang angin, yang mana salah satunya didakwa mampu menyebabkan kematian kerana mempunyai laras licin.
Jurucakap Polis Metropolitan Jakarta Selatan, Joko Adi Wibowo mengesahkan bahawa pegawainya telah menerima laporan itu.
Beliau berkata, polis merahsiakan identiti sekolah tersebut sementara siasatan terperincii dijalankan. – AGENSI
The post Ratusan senjata api ditemukan di sekolah appeared first on Kosmo Digital.
