Ravi tahan sakit demi kibar Jalur Gemilang di Everest

20 May 2023 • 7:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pendaki solo negara, Ravichandran mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di puncak Gunung Everest pada 17 Mei lalu.

PENDAKI solo negara, T Ravichandran yang mengalami kecederaan jari akibat radang dingin (frostbite) kini menjalani rawatan di sebuah hospital dekat Kathmandu, Nepal.

Isterinya, Leela Ramamurthy ketika mengesahkan perkembangan terkini suaminya berkata, Ravichandran dikejarkan ke hospital menaiki helikopter susulan kecederaan yang dialami ketika berada 200 meter (m) untuk sampai ke puncak Gunung Lhotse, gunung keempat tertinggi dunia, yang berketinggian 8,516m.

“Namun, dia berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi di dunia, Everest berketinggian 8,848m pada 17 Mei 2023 jam 12 tengah hari (waktu Nepal), untuk kali yang keempat.

"Saya juga mengharapkan sokongan dan doa dalam kalangan rakyat Malaysia supaya Ravichandran segera sembuh dan pulih,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sebagai rekod, Ravichandran menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 dalam percubaan melakar rekod negara apabila menjadi pendaki Malaysia pertama menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest, dengan hanya mengambil masa 24 jam.

Pada masa sama, Leela Ramamurthy mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023) pada Sabtu.

Sementara itu, Ravichandran dijangka pulang ke tanah air dan tiba jam 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

View Original Article