Rawat Kucing Dijangkiti Virus Bawaan Kutu, Doktor Haiwan Meninggal Dunia 

LocalHealth & Fitness
18 Jun 2025 • 12:39 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Rawat Kucing Dijangkiti Virus Bawaan Kutu, Doktor Haiwan Meninggal Dunia

Jepun – Seorang doktor veterinar dari Wilayah Mie disahkan meninggal dunia selepas merawat seekor kucing yang dijangkiti virus bawaan kutu, dikenali sebagai severe fever with thrombocytopenia syndrome (SFTS).

Menurut laporan The Asahi Shimbun, mangsa dilaporkan mengalami simptom kesukaran bernafas pada bulan Mei dan dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian. Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menunjukkan sebarang kesan gigitan kutu.

Pegawai kesihatan berkata tiada simptom berkaitan dikesan pada pemilik kucing mahupun kakitangan klinik veterinar terbabit. Jika perkara ini disahkan, kejadian ini menjadi kes pertama kematian doktor haiwan di Jepun akibat jangkitan SFTS daripada haiwan yang dirawat.

Berikutan kejadian itu, Persatuan Perubatan Veterinar Jepun telah mengeluarkan amaran kepada semua pengamal veterinar di seluruh negara.

Sebagai pengetahuan, virus SFTS lazimnya disebarkan melalui gigitan kutu yang terdapat di kawasan hutan dan rumput. Namun, ia juga boleh tersebar melalui darah, air liur, muntah serta najis haiwan yang dijangkiti, terutamanya kucing dan anjing.

Simptom umum melibatkan demam, muntah serta najis berwarna hitam, dengan tempoh inkubasi antara enam hingga 14 hari. Kadar kematian dalam kalangan manusia boleh mencecah sehingga 30 peratus, manakala bagi kucing, ia boleh meningkat sehingga 60 peratus.

Sehingga April 2025, Jepun telah merekodkan sebanyak 1,071 kes dan 117 kematian melibatkan jangkitan SFTS sejak kes pertama dilaporkan pada tahun 2013.

Rekod tertinggi setakat ini dicatatkan pada tahun 2023 dengan 134 kes dilaporkan. Setakat ini, purata sekurang-kurangnya 100 kes dilaporkan setiap tahun sejak beberapa tahun lalu. Data ini dikeluarkan oleh Institut Keselamatan Kesihatan Jepun.

Antara tahun 2018 hingga April 2025, seramai 11 doktor veterinar di Jepun dijangkiti SFTS melalui pendedahan berkaitan haiwan.

Profesor Perubatan Veterinar Universiti Miyazaki, Tamaki Okabayashi menjelaskan bahawa kucing dan anjing peliharaan di dalam rumah turut berisiko dijangkiti.

Menurutnya, haiwan peliharaan yang sesekali keluar rumah mungkin terdedah kepada jangkitan dan boleh menyebarkannya kepada manusia. Beliau menegaskan bahawa simptom ringan seperti demam, kelesuan dan penyakit kuning juga boleh menjadi petanda awal SFTS.

“Veterinar di kawasan berisiko tinggi mesti mempertimbangkan kemungkinan SFTS bermula dari perundingan pertama dan menggunakan sarung tangan, pelitup muka dan gaun,” katanya.

Tambahnya, pencinta haiwan di kawasan terjejas juga dinasihatkan agar mengelak daripada menyentuh secara langsung kucing jalanan yang kelihatan sakit.

“Jika perlu, langkah terbaik ialah mengenakan sarung tangan dan apron. Pastikan anda sanitasi tangan selepas itu,” ujarnya lagi.

Kerajaan Jepun telah menerbitkan manual keselamatan terperinci untuk pengamal veterinar. Garis panduan berkomunikasi dengan pemilik haiwan peliharaan bagi mengurangkan risiko jangkitan turut dikeluarkan.