Rawatan pemulihan dadah fleksibel, tanggapan dihukum perlu diubah

LocalHealth & Fitness
28 Sep 2026 • 8:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rawatan pemulihan dadah fleksibel, tanggapan dihukum perlu diubah

TANGGAPAN golongan pena­gih dadah akan dihukum apabila tampil mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) perlu diubah berikutan pendekatan dilaksanakan kini lebih bersifat fleksibel, profesional serta menjamin kerahsiaan klien.

Dalam konteks ini, mana-mana individu yang ingin mendapatkan bantuan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak perlu bimbang kerana kemasukan secara sukarela membolehkan mereka mengikuti rawatan secara selamat, berstruktur serta tanpa perintah mahkamah.

Untuk maklumat, rawatan secara sukarela merujuk kepada tindakan individu hadir sendiri ke Puspen tanpa paksaan yang mana ia berbeza secara mandatori apabila penagih dikesan, ditangkap serta dibawa ke mahkamah untuk perintah selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) Bahagian Rawatan Perubatan dan Pemulihan AADK, Hafidah Mohd. @ Maasom berkata, pemulihan secara sukarela memberi kelebihan kepada klien termasuk dalam aspek motivasi dalaman, kesediaan berubah serta pembentukan hubungan terapeutik lebih positif.

“Jadi, individu yang mahu hadir ke Puspen tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bantuan AADK kerana kehadiran secara sukarela membolehkan mereka mengikuti rawatan dengan lebih kondusif.

“Pendekatan itu sekali gus membolehkan mereka mendapatkan rawatan dengan sokongan pegawai pemulihan AADK, seterusnya membolehkan perancangan pemulihan dilaksana secara teratur sebelum individu kembali kepada komuniti,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hafidah berkata, dalam konteks rawatan sukarela, sokongan keluarga sangat diperlukan kerana sesetengah individu sukar mengakui dirinya mempunyai masalah ketagihan.

“Kebiasaannya, inidividu ha­nya tampil mendapatkan rawatan selepas berlaku satu titik penting dalam kehidupan yang mendorong mereka untuk mendapatkan sendiri bantuan.

“Sebenarnya, kesedaran bahawa diri mereka mempunyai masalah dadah merupakan fasa pertama dalam proses pemulihan kerana golongan itu sering merasakan mereka mampu mengawal pengambilan dadah,” katanya.

Image from: Rawatan pemulihan dadah fleksibel, tanggapan dihukum perlu diubah
Mereka yang mengikuti program rawatan dan pemulihan secara sukarela menjalani kaedah rawatan secara berstruktur dan berfokuskan individu.

Susulan itu, jelasnya, keluarga perlu memainkan peranan penting dalam proses pemulihan dan tidak menjadi penonton semata-mata dengan melihat dari awal sehingga tamat rawatan.

Menurutnya, ahli keluarga juga perlu memahami bahawa pena­gihan dadah bukan masalah yang dianggap selesai selepas tamat rawatan, sebaliknya merupakan proses berterusan.

“Sebagai contoh, jika penagih dihantar ke Puspen untuk rawatan dan selepas satu tempoh, pemulihan selesai, dia akan dihantar pulang kepada keluarga. Jadi, ke­luarga perlu terlibat dalam proses itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafidah berkata, terdapat perbezaan antara rawatan secara sukarela dan mandatori yang mana bagi kaedah sukarela, ia dilaksanakan secara berstruktur dan berfokuskan individu.

“Sebagai contoh, bagi klien yang menjalani rawatan sukarela, mereka tidak terikat dengan syarat tertentu seperti perlu kekal dalam daerah tempat tinggal serta boleh mengikuti program mengikut kesesuaian mereka.

“Dalam kontek ini, AADK menyediakan pelbagai pakej rawatan secara sukarela dengan tempoh dan intensiti berbeza berdasarkan hasil ujian saringan serta penilaian terhadap klien.

“Jadi, program yang diikuti juga dengan persetujuan klien, maka mereka merasa tidak terbeban mengikutinya kerana mengikut tahap kesesuaian masing-masing,” katanya.

Image from: Rawatan pemulihan dadah fleksibel, tanggapan dihukum perlu diubah
Hafidah menyarankan individu bermasalah supaya mendapat bantuan awal sebelum keadaan mereka semakin parah.

Dalam perkembangan sama, jelas beliau, tempoh 90 hari pertama dalam proses rawatan disifatkan penting bagi menyediakan klien berhenti daripada pengambilan dadah serta membina perubahan tingkah laku.

“Rawatan di Puspen juga kini dilaksanakan mengikut fasa dan mempunyai matlamat tertentu termasuk integrasi sosial, khidmat kepada masyarakat serta latihan kemahiran di institusi luar.

“Pada masa sama, klien yang hadir secara sukarela juga akan dirahsiakan semua maklumat mereka selain digalakkan untuk mendapatkan rawatan lebih awal,” jelasnya.

Susulan itu, Hafidah menasihatkan individu terlibat supaya tidak menunggu sehingga keadaan menjadi teruk serta segera mendapat bantuan AADK.

“Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan atau sesuatu yang memalukan, sebaliknya me­rupakan langkah berani mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Anda tidak perlu melalui pro­ses pemulihan ini seorang diri ke­rana AADK bersama keluarga dan komuniti boleh membantu membina semula keyakinan, pulihkan kehidupan serta jalani kehidupan lebih positif,” katanya.

 

 

 

The post Rawatan pemulihan dadah fleksibel, tanggapan dihukum perlu diubah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved