
PENYANYI popular Nabila Razali kembali menceriakan suasana Aidilfitri tahun ini menerusi single raya Raya Mana dalam versi Kelantan.
Turut menampilkan penyanyi Den Manjo versi istimewa itu dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin mendengar lagu terbabit dalam loghat negeri Pantai Timur berkenaan.
Nabila berkata dia berasa sedikit gementar untuk menyanyikannya itu dalam versi Kelantan kerana tidak begitu fasih bercakap dalam loghat negeri terbabit walaupun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari Kelantan.
“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama dengan Den Manjo permintaan anda sudah saya tunaikan.
“Sejujurnya saya agak gementar untuk menyanyikan lagu ini kerana loghat Kelantan bukanlah bahasa pertama saya.
“Sampaikan sudah menimang cahaya mata pun saya masih lagi belum fasih untuk berbahasa Kelantan.
“Tetapi tidak mengapa mula-mula menyanyi dahulu namun lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya.
Nabila yang juga penyanyi lagu Peluang Kedua berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.
Dalam pada itu Nabila turut mendapatkan bimbingan daripada Den Manjo bagi memastikan sebutannya tepat.
Menurut Nabila pendekatan itu penting agar nyanyiannya tidak kedengaran canggung.
“Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan.
“Insyahallah... saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut.
“Dengan pelancaran Raya Mana versi Kelantan ini diharapkan dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” ujarnya.
Terdahulu Nabila tahun lalu pernah mendapat perhatian ramai apabila mempersembahkan lagu Raya Mana dalam bahasa isyarat sekali gus menjadikannya lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat.


